Cukuplah salahkan orang lain, PBS beritahu kerajaan negeri, Putrajaya

Cukuplah salahkan orang lain, PBS beritahu kerajaan negeri, Putrajaya

Presiden Maximus Ongkili berkata rakyat masih belum nampak sebarang perubahan positif 7 bulan selepas kerajaan bertukar.

Ongkili (depan, berbaju merah) di rumah terbaru Krismas dan Tahun Baru di Kota Marudu semalam.
KOTA KINABALU:
Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili hari ini menggesa kerajaan persekutuan dan negeri mula bekerja dan tunaikan janjinya daripada asyik menyalahkan orang lain.

Beliau berkata 7 bulan selepas kerajaan bertukar, rakyat belum nampak sebarang perubahan positif dalam Malaysia Baru, tidak seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) dan Warisan.

“Pemimpin daripada kerajaan memerintah asyik menyalahkan tadbir urus lemah pada pentadbiran Barisan Nasional, tetapi Malaysia Baru pun sama.

“Ia seolah-olah pemimpin-pemimpin ini hanya tahu menuding jari. Sekarang masanya untuk cakap serupa bikin, supaya Malaysia boleh maju,” katanya dalam kenyataan.

Ongkili mendakwa pertumbuhan ekonomi negara menjadi perlahan dan menjejaskan kesejahteraan rakyat.

“Misalnya di Sabah, situasi ekonomi yang tidak baik boleh dirasai di bandar-bandar utama, dengan restoran-restoran mewah terhimpit kerana pelanggan berkurangan.

“Orang ramai melanggan kedai makan biasa dan mengadu makanan dan minuman semakin mahal.

“Orang ramai tidak berbelanja, jualan menurun, dan kuasa membeli dan menjual lemah.

“Tiada pelaburan baru dan kedatangan pelancong juga menurun. Cubaan menculi di pantai timur Sabah baru-baru ini tidak memberi gambaran yang baik mengenai sektor pelancongan kita,” katanya.

Ongkili berkata kerajaan negeri dan persekutuan mesti meningkatkan usaha memastikan rakyat tidak lagi menderita.

“PBS mahu Malaysia yang lebih baik dari semua segi, seperti ekonomi, pentadbiran, keselamatan, kesatuan dan kemakmuran, seperti yang dijanjikan kerajaan PH dan Warisan.

“Malangnya, mereka tak tunjukkan apa-apa yang boleh kita syukuri sejak membentuk kerajaan pada Mei lepas,” katanya.

Beliau berkata kebimbangan PBS tertumpu kepada 5 isu iaitu janji-janji dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), jumlah pendatang haram yang ramai, keselamatan yang lebih baik, ekonomi yang lebih baik, dan kesejahteraan rakyat.

“Pendirian kami jelas, kami akan menyokong usaha kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat, tetapi akan mengkritik jika sebaliknya.

“Apa yang mereka buat hari ini akan ditapis dan diadili rakyat.

“PBS komited memperjuangkan hak rakyat Sabah seperti yang terkandung dalam MA63, termasuk membantah ketakdilan dan pencerobohan orang asing, dan mempertahankan maruah dan keperluan asas rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.