
Beliau berkata Sarawak begitu ghairah melawan kerajaan Persekutuan sehingga sanggup membuat dakwaan dengan fakta dan angka tidak berasas.
Malah, katanya, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berdegil mengulangi dakwaan palsu bahawa Sarawak didiskriminasi kerana tidak dibayar hasil cukai tersebut.
“Amatlah mudah untuk kerajaan negeri Sarawak mengesahkan sama ada pembayaran hasil cukai pelancongan telah dilakukan dengan menulis surat kepada Kementerian Kewangan.
“Malangnya, Sarawak gagal berbuat demikian dan memilih untuk menyerang kerajaan Persekutuan berdasarkan dakwaan palsu yang berbentuk fitnah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum itu, Karim mengkritik Lim selepas menteri kewangan itu menuntut negeri berkenaan membayar hutangnya sebanyak RM2.5 bilion terlebih dahulu sebelum meminta bahagiannya daripada hasil cukai pelancongan.
Beliau berkata, bahagian Sarawak ke atas hasil cukai itu tidak harus dinafikan.
Katanya, kerajaan negeri mengutip RM4.6 juta cukai pelancongan dari September 2017 hingga September 2018, dan separuh daripadanya dijanjikan akan dipulangkan kepada Sarawak bagi membolehkan negeri itu menjalankan program pembangunan pelancongan.
Karim juga mempersoalkan keengganan Lim mengembalikan wang itu kepada Sarawak sedangkan Putrajaya telah membayar Sabah.
Mengulas lanjut, Lim menghuraikan 3 sebab agihan 50% hasil cukai pelancongan kepada kerajaan negeri masih belum dilakukan.
Katanya, agihan itu akan dilakukan setelah perakaunan hasil cukai pelancongan untuk 2018 dimuktamadkan dan pembayaran akan dilakukan di dalam suku pertama 2019.
“Kedua, menurut Perlembagaan Persekutuan, cukai ini dibayar kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tiada hak terhadap hasil daripada cukai.
“Namun, atas dasar hormat kerajaan Persekutuan terhadap negeri-negeri, agihan 50% dari hasil cukai tersebut akan diberikan seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2019 pada 2 November 2018,” katanya.
Sebab ketiga, kata Lim kerajaan Persekutuan akan melakukan agihan tanpa mengira sama ada kerajaan negeri masih berhutang kepada kerajaan Persekutuan atau terdapat tunggakan hutang.
Beliau berkata itu bermakna Sarawak tetap akan menerima bayaran hasil cukai pelancongan sungguhpun Sarawak masih berhutang RM2.5 bilion dengan tunggakan hutang hampir RM50 Juta kepada kerajaan Persekutuan.
“Sekiranya kerajaan negeri Sarawak masih mahu memanjangkan perkara ini berdasarkan dakwaan palsu yang berbentuk fitnah, ia akan menimbulkan keraguan terhadap keikhlasan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan.
“Sebaliknya, perbuatan tersebut akan dilihat sebagai bermotif politik untuk menanam kebencian terhadap Kerajaan Persekutuan,” katanya.