
Pembelotan terbaru di negara anggota OPEC yang berdepan krisis itu berlaku susulan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat ke atas Maduro berhubung penggal baru pemerintahan beliau, berpunca daripada pengundian pada 2018 yang diboikot secara meluas dan disifatkan oleh negara di seluruh dunia sebagai satu penipuan.
“Saya memutuskan untuk meninggalkan Venezuela bagi menolak kerajaan Nicolas Maduro,” kata Zerpa dalam satu temu bual dengan EVTV, yang bersiaran menerusi kabel dan internet.
“Saya percaya (Maduro) tidak layak mendapat peluang kedua kerana pilihan raya yang kononnya beliau menangi adalah tidak bebas dan kompetitif.”
Mahkamah Agung mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa Zerpa telah melarikan diri, dan merujuk beliau sebagai seorang bekas majistret sambil menambah bahawa badan kehakiman itu sudah membuka satu siasatan terhadap hakim tersebut pada November berhubung dakwaan melakukan gangguan seksual ke atas beberapa wanita di pejabatnya.
Kepimpinan mahkamah itu mengesyorkan agar beliau dipecat berhubung dakwaan tersebut, kata kenyataan itu tanpa memberikan butiran lanjut.
Zerpa adalah sekutu penting Maduro selama bertahun-tahun di Mahkamah Agung, yang menyokong Parti Sosialis dalam setiap pertikaian perundangan utama sejak pemilihan Maduro pada 2013.
Beliau menulis penghakiman pada 2016 yang memperuntuk justifikasi perundangan kepada kerajaan Maduro untuk memansuhkan sebahagian besar kuasa kongres selepas Parti Sosialis hilang kawalan ke atas badan itu kepada pembangkang dalam satu keputusan pilihan raya yang mengejutkan.
Zerpa dalam temu bual itu menyifatkan Mahkamah Agung sebagai “satu tambahan kepada cawangan eksekutif” dan berkata, kadang-kadang hakim akan dipanggil ke istana presiden untuk menerima arahan tentang bagaimana untuk membuat keputusan dalam kes sensitif tertentu.’
Kementerian Penerangan tidak memberikan maklum balas segera berhubung permintaan untuk mendapatkan kenyataan mengenai perkara itu.
Zerpa berkata, beliau tidak mengkritik pilihan raya Mei 2018 Maduro bagi memastikan beliau boleh merintis jalan untuk keluar dari negara itu bersama-sama keluarganya.
Pemimpin pembangkang menggesa kerajaan asing agar tidak mengiktiraf Maduro selepas pelantikannya pada Khamis, dan sekumpulan negara Amerika Latin pada Jumaat mendesak Maduro tidak memegang jawatan itu.
Kata-kata Zerpa mengulangi apa yang dizahirkan oleh bekas hakim Eladio Aponte, yang melarikan diri ke AS pada 2012 dan berkata, kerajaaan pimpinan mendiang pemimpin Parti Sosialis Hugo Chavez – pendahulu Maduro – telah secara sistematik memanipulasi hal ehwal mahkamah.