
Azmin berkata, pertemuan keluarganya dengan Hishammuddin tidak dirancang dan ia berlaku tanpa sengaja apabila secara kebetulan keluarga bekas menteri pertahanan itu turut bercuti di tempat yang sama.
“Saya tidak bercuti dengan Hishammuddin, saya terserempak dengan beliau di Maghribi. Saya jumpa banyak rakyat Malaysia di Maghribi, tidak jadi masalah atau isu pun. Saya jumpa pelajar Malaysia di sana, janganlah buat spekulasi.
“Kita kena bertamadun, jangan ingat kita mesti ada perbincangan politik, tidak ada. Untuk kebaikan negara kita kena baik dengan semua orang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Perumahan “Simfoni” Rumah SelangorKu di Eco Majestic di sini, hari ini.
Azmin berkata, hubungan beliau dengan Hishammuddin melangkaui batas politik kerana saling mengenali sejak puluhan tahun dahulu.
“Hubungan saya dengan Hishammuddin bermula puluhan tahun dulu. Kalau saudara ingat masa saya dalam pembangkang. Pada majlis perkahwinan anak beliau hanya saya seorang dari pembangkang menghadiri majlis di Shangrila Hotel,” katanya.
Gambar keluarga Azmin dan Hishammuddin yang bercuti di Maghribi baru-baru ini mencetuskan pelbagai tanda tanya berikutan dakwaan “perpecahan” yang dipercayai tercetus dalam kepimpinan PKR.
Gambar itu dimuat naik ke laman Twitter milik anak sulung Azmin, Ameer Azmin, yang menunjukkan sebuah resort percutian di Marrakesh, Maghribi dengan kapsyen, “keluarga kami bersatu semula”.
Sebuah video juga dimuat naik oleh Ameer di laman media sosial miliknya menunjukkan 2 keluarga itu menikmati hidangan seperti udang kara, manakala Azmin dan Hishammuddin sedang berbual dengan masing-masing memakai kaca mata hitam.
Percutian itu berlaku pada saat timbulnya “perselisihan” antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Azmin yang juga timbalan presiden PKR, berhubung pelantikan jawatan selepas pemilihan parti itu akhir tahun lepas.
Hishammuddin didakwa terbabit dalam usaha menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad, sekali gus menimbulkan pertanyaan sama ada percutian di negara Afrika Utara itu dirancang.