Kerajaan digesa tambah baik SOP elak lambakan rumah ibadat haram

Kerajaan digesa tambah baik SOP elak lambakan rumah ibadat haram

Ahli Parlimen Fahmi Fadzil menyarankan pihak berkuasa tempatan dan pemaju mencari Pihak PBT dan NGO agama mencari pendekatan baru menyelesaikan isu lambakan rumah ibadat haram.

Fahmi Fadzil berkata, pemaju perlu lebih sensitif dan memainkan peranan bagi mengelakkan pertikaian tanah membabitkan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, berulang.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mencadangkan pihak berkuasa tempatan dan pemaju bekerjasama dengan badan bukan kerajaan agama untuk mengelakkan lambakan rumah ibadat haram.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada perlu ditambah baik bagi mengelakkan pertikaian dan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, berulang.

Beliau berkata, pemaju perlu memainkan peranan dan lebih sensitif, apabila projek pembangunan mereka terletak berhampiran rumah ibadat.

“Saya lihat ada keperluan untuk pihak PBT, bukan sahaja di Kuala Lumpur untuk mengadakan pertemuan dengan badan-badan keagamaan untuk melihat mungkin perlu dipertingkatkan dari segi SOP atau cara untuk tangani isu ini supaya kita dapat mengekalkan perpaduan.

“Saya sendiri akan bincang dengan menteri dan timbalan menteri perpaduan untuk teliti perkara ini kerana kita perlu pelajar daripada insiden yang berlaku,” katanya selepas meninjau masalah trafik di sekitar Kampung Kerinchi hari ini.

Fahmi berkata, beliau berjaya menyelesaikan beberapa isu membabitkan rumah ibadat haram.

Beliau turut menasihatkan orang ramai berhenti menjadi batu api bagi mengelakkan perpecahan kaum berlaku.

“Dari segi pemahaman rakyat Malaysia tentang isu rumah ibadat ini, saya harap kita sentiasa sensitif dengan kata-kata kita dalam media sosial, jangan sampai api-apikan sentimen perkauman, tangani isu ini dengan baik, dengan penuh hikmah.

“Walaupun hanya satu rumah ibadat, jika ia tidak diusaha dengan baik, ia ibarat nila setitik akan rosak susu sebelanga, rosak perpaduan. Kita perlu tangani isu rumah ibadat haram dengan berhemah, tidak kira berapa jumlahnya.”

Kurangkan penggunaan kenderaan

Fahmi berkata, Malaysia memerlukan tempoh lama untuk mendidik dan memastikan rakyat memanfaatkan pengangkutan awam, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan jumlah kenderaan di jalan raya.

“Pada era 60-an, Malaysia pilih utamakan jalan macam model Amerika Syarikat…Banyak pelaburan kita lebih kepada pembinaan jalan, padahal di Jepun, banyak rel disediakan. Di Singapura pun sama, jadi kita lakukan anjakan paradigma dari segi pengangkutan bagi 100 tahun ke depan.

“Sepuluh tahun nak didik rakyat sepenuhnya guna pengangkutan awam dan kurangkan jumlah kereta dalam keluarga sukar…perlu pastikan segala kemudahan pengangkutan awam lengkap dan efisien baru ia boleh dilakukan.”

Katanya, langkah permulaan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar dengan menstruktur semula aliran jalan raya dan menambah parkir bertingkat.

“Banyak pengguna, khususnya di kawasan rumah bertingkat tidak cukup parking. Bila tidak cukup parking, mereka akan letak kereta di bahu jalan, akhirnya menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Salah satu usaha kami sedang lihat untuk bina sekurang-kurangnya 2 parking bertingkat dan ini dapat menampung jumlah kenderaan yang banyak.”

Beliau berkata, lambakan kereta rosak juga antara faktor kesesakan lalu lintas dan parking di kawasan bandar berkurangan.

“Secara umumnya kita ada 26 juta kenderaan mendaftar, tapi hampir 10 juta tidak berfungsi dan terbengkalai. Jadi, kita kena lihat kalau nak kurangkan kesesakan, kena selesaikan (masalah ini) dulu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.