Tiada pengganti atau susah hati letak jawatan presiden UIA, aktivis tanya Maszlee

Tiada pengganti atau susah hati letak jawatan presiden UIA, aktivis tanya Maszlee

Pada 9 Nov, Maszlee mengumumkan beliau bersetuju untuk meletakkan jawatan sebagai presiden UIAM.

Aktivis mahasiswa, Asheeq Ali.
PETALING JAYA:
Aktivis mahasiswa, Asheeq Ali hari ini mempersoalkan jawatan Maszlee Malik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) selepas pengumuman pengundurannya dari jawatan itu senyap tanpa khabar berita.

“Sudah 2 bulan, Dr Maszlee berjanji untuk berundur dari UIA, namun janji itu masih kekal janji,” katanya ketika dihubungi FMT di sini hari ini.

Pada 9 Nov lepas, Maszlee mengumumkan beliau bersetuju untuk meletakkan jawatan sebagai presiden UIA.

Tinjauan ke laman web rasmi UIA mendapati nama dan wajah Maszlee masih dipaparkan sebagai presiden universiti itu.

Bagaimanapun, peletakan jawatannya itu tidak akan berkuatkuasa serta-merta kerana beberapa isu berkaitan perlu diselesaikan, termasuk mencari pengganti yang bakal memegang jawatan terbabit.

Maszlee yang juga menteri pendidikan dilantik memegang jawatan itu pada Sept tahun lepas bagi menggantikan Tan Sri Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai.

Pelantikan itu menjadikan Maszlee sebagai presiden UIA ke-7 selama 3 tahun selepas diberi perkenan oleh Ketua Perlembagaan UIA, Sultan Ahmad Shah.

Mengulas lanjut, Asheeq berkata, apakah yang terlalu sukar bagi universiti tersebut mencari pengganti Maszlee atau apakah ia disebabkan sikap Maszlee yang berat hati meninggalkan jawatan tersebut?

“Apakah susah sangat untuk mencari pengganti beliau? Adakah susah mencari pengganti atau susah hati untuk berundur diri?,” soal beliau.

Katanya lagi, beliau mahu Maszlee mendedahkan kepada orang ramai tentang waktu sebenar beliau akan mengundurkan diri.

Jelasnya, jika pengganti belum ditetapkan, rakyat mempunyai hak untuk tahu mengapa proses tersebut memakan masa yang lama.

“Apakah kemelut yang dihadapi oleh UIA sehingga tiada seorang pun yang boleh menggantikan Dr Maszlee sebagai presiden?” soalnya.

Sementara itu, aktivis Gerakan Pembebasan Akademik (GPA), Azura Nasron berkata, satu pertemuan akan diadakan malam ini bagi membincangkan isu tersebut.

Katanya, gabungan mahaswisa akan membincangkan langkah seterusnya tentang jawatan menteri tersebut di universiti berkenaan.

Tinjauan FMT ke laman web rasmi UIA masih memaparkan nama dan wajah Maszlee sebagai presiden universiti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.