Janji tetap janji, keluarga tahanan Sosma beritahu kerajaan PH

Janji tetap janji, keluarga tahanan Sosma beritahu kerajaan PH

Sekiranya akta itu tidak dimansuhkan, kerajaan perlu meminda peruntukan yang dilihat tidak adil.

Anggota keluarga tahanan Sosma mengadakan protes di penjara Sungai Buloh Ogos tahun lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Anggota keluarga tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tentang janji pilihan rayanya untuk memansuhkan undang-undang itu sekiranya memenangi pilihan raya umum Mei lepas.

“Kerajaan mesti tunaikan janjinya untuk memansuhkan Sosma. Janji tetap janji,” kata seorang daripada mereka, Mahathir Abdul Rahman kepada FMT.

Adik Mahathir kini dipenjarakan selama 4 tahun di bawah Sosma. Mekanik polis itu dituduh menyokong keganasan dan menyembunyikan maklumat.

Mahathir berkata, walaupun sekiranya akta itu tidak dimansuhkan, kerajaan sekurang-kurangnya perlu meminda peruntukan yang dilihat tidak adil.

Adik Mahathir Abdul Rahman, mekanik polis yang kini dipenjara 4 tahun di bawah Sosma.

“Saya berharap mereka meminda Seksyen 18A, yang memperuntukkan ‘apa-apa pernyataan oleh seseorang tertuduh sama ada secara lisan atau bertulis kepada mana-mana orang pada bila-bila masa hendaklah boleh diterima sebagai keterangan’.

“Ini jelas tidak adil,” katanya.

Mahathir berkata, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim, berjanji bahawa anggota keluarga tahanan akan dijemput dalam perbincangan untuk menyemak semula Sosma.

Bagaimanapun sehingga kini mereka tidak diberikan apa-apa maklumat terbaru mengenainya.

Beliau menyuarakan kebimbangan bahawa perbincangan atau keputusan yang dibuat berhubung perkara itu akan berat sebelah kerana ia tidak mengambil kira pandangan keluarga tahanan.

Katanya, kerajaan mengingkari janjinya jika ia bertegas mahu mengekalkan Sosma, dengan menambah, tahanan merancang untuk mogok lapar pada Mac depan sebagai satu protes.

Seorang lagi ahli keluarga tahanan Sosma, Norsham Jalani berkata, rakyat mengundi PH dalam pilihan raya lepas kerana manifestonya.

Anggota TUDM, Nor Azmi Jalani, ditahan kerana didakwa menyokong keganasan.

Katanya, adik beliau, Nor Azmi, 32, seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), ditahan kerana didakwa menyokong keganasan.

“Mereka berjanji untuk memansuhkan akta itu, bukan setakat mengkaji semula,” katanya.

Beliau berkata, ahli politik seperti Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng perlu ingat tentang janji PH untuk memansuhkan Sosma kerana mereka sendiri pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Ahad lepas, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan PPBM berkata bahawa Sosma dan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (Poca) tidak akan dimansuhkan, sebaliknya akan dikekalkan dengan pindaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.