Dakwa minta sogokan: Syed Saddiq arah pegawai lapor polis

Dakwa minta sogokan: Syed Saddiq arah pegawai lapor polis

Individu tersebut didapati tiada kena-mengena dengan pejabat Ahli Parlimen Muar.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq berkata, beliau masuk politik untuk ‘bersihkan’ politik dan tidak akan melupakan prinsip itu.
PETALING JAYA:
Seorang pegawai kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang individu yang menyamar sebagai pembantu kepada Ahli Parlimen Muar meminta sogokan daripada lembaga pengarah sekolah di Muar, Johor.

Syed Saddiq berkata, individu tersebut didapati tiada kena-mengena dengan pejabatnya, sekali gus menasihatkan media supaya menyemak dengannya terlebih dahulu sebelum membuat laporan.

Beliau berterima kasih kepada akhbar Sin Chew dan China Press kerana menarik semula laporan masing-masing dan membuat pembetulan kepada artikel yang mendakwa “pembantu Ahli Parlimen Muar” meminta komisyen 30%.

“Saya telah meminta pejabat saya di Muar buat laporan polis supaya penyamar itu akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, sebuah akhbar Cina melaporkan seorang individu yang mengaku pembantu kepada Ahli Parlimen di Muar meminta sogokan daripada lembaga pengarah sekolah tempatan untuk mendapatkan dana untuk kerusi parlimen itu.

Syed Saddiq berkata, walaupun laporan itu tidak menamakan beliau, tetapi Parlimen Muar sebati dengan diri beliau.

“Saya masuk politik untuk bersihkan politik. Saya tidak akan lupakan prinsip ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.