
Timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, disebabkan keadaan itu kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini perlu membangunkan semula data mengenai mereka mempunyai rumah dan belum mempunyai rumah.
“Dulu bila kita minta data, tidak ada data yang boleh memberikan maklumat tentang siapa yang ada (rumah mampu milik) dan siapa yang tidak ada.
“Ramai yang mengadu dari dulu lagi masa kita jadi pembangkang. Mereka kata, jiran dah dapat 2, 3 kali (rumah mampu milik). Kalau tak suami, isteri, anak semua dah dapat, tetapi mereka yang bukan dalam golongan BN tidak disenaraikan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Ketua Wanita Umno, Datuk Noraini Ahmad bahawa kerajaan PH gagal menyediakan rumah mampu milik, khususnya kepada golongan Melayu dan Bumiputera yang tidak berkemampuan.
Noraini berkata, tidak banyak idea baru yang dicetuskan kerajaan PH melainkan “menciplak” dan mengulang apa-apa yang dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini seperti Program Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad.
Mengulas lanjut, Kamarul turut mempersoalkan kenapa BN tidak membangunkan pangkalan data pusat mengenai perumahan walaupun setelah memerintah selama 60 tahun.
“Kenapa tak ada? Macam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bila kita (cari), orang ni ada Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS), ada masalah dengan bank. Kenapa kita tak boleh buat (perkara) yang sama dengan data perumahan?
“Dah 60 tahun BN memerintah, kenapa tidak ada sistem begitu? Jadi bagaimana mereka membahagikan rumah selama ini? Ikut suka selera dia nak bagi bukan atas kelayakan tapi atas pengaruh?” soalnya.
Mengulas mengenai dakwaan PH tidak mempunyai idea baru mengenai perumahan mampu milik, Raja Kamarul berkata, mereka kini sedang menyelesaikan masalah yang ditimbulkan kerajaan BN sebelum ini.
Katanya, antara masalah yang kini cuba diselesaikan adalah mengenai rumah mampu milik yang dibina di atas tanah yang dibeli dengan harga terlalu tinggi.
“Apabila tanah dibeli dengan harga yang terlalu tinggi, macam mana kita nak sampai ke sasaran mampu milik kerana dengan sendirinya apabila tanah mahal, rumah itu keseluruhannya akan jadi lebih mahal,” jelasnya.
Beliau berkata, kerajaan PH kini banyak mewarisi projek perumahan seperti itu.
“Sekarang ini kerajaan PH tidak lagi membenarkan projek diberi secara runding terus. Mesti melalui tawaran terbuka kerana hanya dengan cara itu kita dapat pastikan harga tanah dan kontrak kekal rendah.
“Kerajaan BN dulu terlalu banyak runding terus yang tidak berpatutan. Ini tidak sesuai untuk rumah mampu milik kerana kita kena buat rumah mampu milik di bawah harga RM300,000.
“Jadi kita terpaksa susun semula cara pelaksanaan…cara beli tanah, cara beri tender dan kerana itu kita perlu buat banyak kerja pembaikan,” katanya.