
“Kami akan kemas kini senarai dengan lebih banyak tempat awam, seperti kedai dobi layan diri, di mana orang merokok di luar dan menyumbang kepada kanak-kanak dan orang lain menjadi perokok pasif,” katanya selepas melawat beberapa restoran di Cheras hari ini.
Beliau turut mengagihkan risalah larangan merokok kepada orang ramai dan papan tanda dilarang merokok kepada pemilik restoran.
Larangan merokok, termasuk rokok elektronik (vape) dan shisha yang mengandungi nikotin di semua restoran tertutup, berhawa dingin atau warung berkonsep terbuka berkuat kuasa hari ini.
Dzulkefly berkata, pihak berkuasa tidak akan menghukum perokok ingkar dalam 6 bulan pertama ini.
“Mulai sekarang, kami akan menguatkuasakan larangan itu melalui pendidikan, di mana kami akan memberi penerangan kepada mereka yang ditangkap merokok atau pemilik premis, jadi tiada orang ketinggalan dalam mengetahui alasan kami menguatkuasakan larangan merokok.
“Kami di sini bukan untuk menghukum, kami mahu rakyat Malaysia mengambil berat kesihatan mereka.”
Beliau berkata, pihaknya sudah menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) dan cara penguatkuasaan larangan itu kepada lebih 3,000 pemilik restoran dan premis dalam mesyuarat bersama kementeriannya.
“Kami akan mengenakan kompaun itu, tetapi selepas 6 bulan. Tidak akan ada patah balik,” beliau memberi jaminan itu sambil menambah 5,008 pegawai kesihatan diberikan kuasa untuk mengeluarkan kompaun.
“Kami ada SOP. Pegawai kami amat terlatih, mereka tahu bila perlu mengeluarkan kompaun.”
Mulai hari ini, mereka yang ditahan merokok di kawasan larangan akan didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak lebih 2 tahun, manakala pengusaha kedai makan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan.
Pemilik restoran juga boleh didenda RM5,000 atau penjara 6 bulan, jika mereka membenarkan pelanggan merokok di premis.
Ramai pemilik restoran, kedai kopi dan kumpulan hak asasi perokok membantah larangan itu.
Semalam, 7 individu memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan menguatkuasakan larangan merokok di semua kedai makan.
Pemohon yang menyokong usaha “Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok” mendakwa larangan itu melanggar hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan kerana “merokok bukan aktiviti jenayah di bawah undang-undang Malaysia”.
Katanya, kerajaan tidak mengambil sebarang langkah untuk menemui perokok dan mendengar keluhan mereka sebelum memutuskan untuk melaksanakan larangan itu.
Kumpulan itu berkata, kerajaan mengutip sejumlah besar cukai daripada syarikat tembakau dan tidak pernah melaksanakan larangan itu dahulu.
Dzulkefly berkata, kumpulan itu berhak menyuarakan bantahan mereka di negara demokratik dan kerajaan sedia menemui mereka di mahkamah kerana mempunyai alasan kukuh.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim (Presma), Ayub Khan memberitahu FMT, larangan itu ialah langkah ke arah hala tuju betul.
“Tetapi, lebih banyak perkara perlu dilakukan untuk mengurangkan jumlah perokok,” katanya yang menyambut baik tempoh 6 bulan kerana perokok dan pemilik restoran memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan dasar baru itu.
Beliau bagaimanapun tidak bersetuju larangan itu tidak baik untuk perniagaan restoran kerana perokok boleh merokok di tempat lain.