Equanimity: Jho Low ulangi pengakuan tidak bersalah, terus tempelak kerajaan

Equanimity: Jho Low ulangi pengakuan tidak bersalah, terus tempelak kerajaan

Low memberi komen terhadap permohonan DoJ di mahkamah negara itu untuk membatalkan tindakan pelucutan hak ke atas kapal layar tersebut.

Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kerajaan dan 1MDB adalah pemilik benefisiari Equanimity.
KUALA LUMPUR:
Ahli perniagaan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, terus menempelak kerajaan berhubung keputusannya merampas kapal layar mewah Equanimity.

Dalam kenyataan terbaru hari ini yang dikeluarkan oleh Wells Haslem Mayhew Strategic Public Affairs, Australia, bagi pihak dirinya, Low, yang dikehendaki pihak berkuasa berhubung skandal 1MDB, terus mengulangi pengakuan tidak bersalah beliau.

Beliau memberi komen terhadap permohonan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) di mahkamah negara itu untuk membatalkan tindakan pelucutan hak ke atas kapal layar tersebut.

Low berkata, beliau mengeluarkan kenyataan itu kerana walaupun Equanimity dimiliki oleh Equanimity (Cayman) Ltd, namun beliau “akan tetap ditarik ke dalam laporan media” berhubung keputusan terbaru mahkamah AS itu.

“DoJ, dengan kebenaran Equanimity (Cayman) Ltd, bersetuju untuk memohon pembatalan tindakan undang-undang ini. Walapun natijahnya tidak sempurna, namun ia adalah munasabah dan boleh difahami, berlatarbelakangkan tindakan melulu kerajaan Mahathir (Mohamad) merampas kapal layar itu secara tidak sah daripada Indonesia.

“Tindakan itu jelas bertentangan dengan undang-undang Indonesia sekali gus membelakangkan perintah mahkamah AS bertujuan memastikan semua pihak diberikan semua hak masing-masing di sisi undang-undang.”

Dalam satu notis difailkan di Mahkamah Daerah Pusat California tahun lepas, DoJ berkata: “kerajaan (AS) maklum bahawa kapal layar defendan telah diserahkan kepada kerajaan Malaysia oleh kerajaan Indonesia, dan telah meninggalkan perairan Indonesia. Kerajaan difahamkan satu waran telah diperolehi di Indonesia yang membenarkan penyerahan itu.

“Kerajaan mencadangkan semua prosiding dalam tindakan ini digantung bagi memberikan kerajaan dan mana-mana pihak penuntut yang berminat peluang untuk bertanya kepada Malaysia melalui saluran rasmi tentang niatnya berkaitan kapal layar defendan.”

Dalam kenyataannya, Low mengulangi kenyataannya sebelum ini, iaitu: “Dengan merampas Equanimity secara tidak sah, setelah DoJ menyatakan kesediaan untuk menanggung kos penyelenggaraannya yang tinggi, melabuhkannya dalam persekitaran berbahaya di Pelabuhan Kelang sekali gus mendedahkannya kepada akses media dan orang awam yang tidak dikawal, maka kerajaan Malaysia adalah bertanggunjawab sepenuhnya ke atas kemerosotan nilai kapal layar itu.

“Tidak memeranjatkan, menerusi helah PR yang gagal, rejim Mahathir yang malang itu gagal menjual vesel tersebut pada harga pasaran yang adil dalam lelongan yang diadakan.”

Kenyataan itu berkata, Low “menyedari” bahawa berikutan permohonan DoJ untuk membatalkan tindakan undang-undang terhadap Equanimity, “mahkamah AS tidak membuat dapatan atau perintah negarif terhadap Low berhubung dakwaan kerajaan AS dalam aduan pelucutan hak, selain tidak wujud apa-apa pengakuan mengenai apa-apa salah laku.”

Pada 19 Okt, Mahkamah Tinggi Malaysia mengisytiharkan kerajaan dan 1MDB sebagai pemilik benefisiari Equanimity dan ia bebas untuk menjual kapal layar berharga lebih satu bilion ringgit itu.

Penghakiman itu dibuat selepas pemilik berdaftarnya gagal hadir ke mahkamah bagi menuntut kapal layar tersebut.

Equanimity dibawa ke Pelabuhan Klang pada 7 Ogos selepas pihak berkuasa Indonesia menyerahkannya kepada Malaysia. Ia ditahan di perairan Bali pada bulan Feb atas permintaan pihak berkuasa AS sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah melibatkan 1MDB yang dilancarkan oleh DoJ.

Kerajaan mendakwa Equanimity dibeli dengan menggunakan wang 1MDB. Ia kini dalam proses menjual kapal layar tersebut bagi mendapatkan semula sekurang-urangnya sebahagian daripada wang berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.