Pesta Kaamatan, Gawai akan dimasukkan dalam kalendar Rumah Terbuka Kebangsaan

Pesta Kaamatan, Gawai akan dimasukkan dalam kalendar Rumah Terbuka Kebangsaan

Pesta Kaamatan disambut di Sabah pada 30 dan 31 Mei, sementara Gawai bermula pada 31 Mei dan berakhir pada 1 Jun.

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah dan orang kenamaan lain, termasuk Gabenor Sabah, Juhar Mahiruddin dan isteri sempena sambutan Rumah Terbuka Krismas di negeri itu malam tadi. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kerajaan persekutuan memutuskan untuk memasukkan pesta Kaamatan dan Gawai ke dalam kalendar acara Rumah Terbuka Kebangsaan.

Ketika mengumumkannya malam tadi, Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan menyedari kepentingan memelihara perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat.

“Untuk tujuan itu, kerajaan memutuskan untuk meraikan 6 acara utama di peringkat kebangsaan yang dikenali sebagai hari Rumah Terbuka Malaysia.

“Acara itu ialah Tahun Baru Cina, Hari Raya, Kaamatan, Gawai, Deepavali dan Krismas,” katanya dalam acara rumah terbuka Krismas peringkat negeri di sini.

Kaamatan dan Gawai masing-masing disambut di Sabah dan Sarawak bagi menandakan berakhirnya musim menuai.

Kaamatan disambut di Sabah pada 30 dan 31 Mei, sementara Gawai bermula pada 31 Mei dan berakhir pada 1 Jun.

Wan Azizah berkata, antara tujuan rumah terbuka Krismas itu ialah menggalakkan perpaduan dan persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, selain menyemarakkan semangat Malaysia Baru.

“Ia juga bertujuan memupuk hubungan mesra dalam kalangan pemimpin dan rakyat, serta mengetengahkan tradisi sambutan Krismas,” katanya.

Beliau menggesa orang ramai menolak unsur ekstrem yang mengancam perpaduan sesama rakyat.

Wan Azizah mengingatkan khalayak bahawa kerajaan sedang bekerja sepenuh daya untuk kebajikan rakyat.

“Kerajaan akan terus komited dalam memastikan keperluan dan harapan rakyat dipenuhi. Ini bukan kerajaan yang hanya pandai bercakap, tetapi merupakan kerajaan yang bekerja,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dalam ucapannya berkata, Sabah berjaya menyekat usaha yang bertujuan menyemai permusuhan dalam kalangan masyarakat berbilang kaumnya kerana rakyat terus berjaya mengatasi unsur-unsur ekstremis.

“Saya percaya ini ada kaitannya dengan cara hidup di Sabah dan hakikat bahawa perkahwinan antara-etnik dan antara-agama sejak sekian lama berjaya menyatukan rakyat dan mereka kini melihat diri mereka sebagai satu,” katanya.

Ucapan Shafie dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew, yang juga merupakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

Shafie berkata, kebelakangan ini terdapat pelbagai bentuk ekstremisme yang cuba merosakkan perpaduan rakyat.

“Saya percaya, sewaktu kita menyambut kemunculan Malaysia Baru, rakyat tanpa mengira kaum dan agama perlu merayakan perpaduan dalam kepelbagaian kita dalam usaha membangunkan dan memajukan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kaum dan agama terus digunakan oleh parti politik tertentu untuk memecahkan dan mewujudkan ketakutan dalam kalangan rakyat.

“Malangnya, seperti yang berlaku di beberapa tempat di Malaysia, keadaan ini mewujudkan rasa saling tidak mempercayai antara kaum dan agama dalam kalangan kumpulan tertentu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan di peringkat pusat dan Warisan bersama-sama PKR, DAP dan Upko di Sabah kini bekerja bersama-sama bagi menzahirkan perpaduan sebenar dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kita berjanji untuk membawa perubahan dan meninggalkan dasar perkauman yang diamalkan oleh kerajaan pimpinan Umno sebelum ini.

“Janji itu kini sedang ditunaikan dan kita akan terus bekerja bagi merealisasikan perubahan yang dijanjikan, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di seluruh negara,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.