Pelan Kemakmuran Bersama bantu orang Melayu tanpa sekat hak kaum lain

Pelan Kemakmuran Bersama bantu orang Melayu tanpa sekat hak kaum lain

Pelan Kemakmuran Bersama akan gagal jika ia menyekat mana-mana kaum kerana akan wujud ketidakadilan dan ketidaksaksamaan.

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin berkata, negara mesti mengiktiraf penglibatan semua kaum dalam pelbagai sektor ekonomi secara adil.
PUTRAJAYA:
Pelaksanaan agenda Bumiputera perlu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dengan nikmatnya dirasai oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini,” kata Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bercakap pada hari terakhir Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) PPBM, Muyiddin berkata, agenda yang bakal dinamakan Pelan Kemakmuran Bersama itu akan gagal jika ia menyekat mana-mana kaum kerana akan mewujudkan ketidakadilan dan ketidaksaksamaan.

“Jika dasar ini merencat pertumbuhan ekonomi, ia bukan agenda Bumiputera yang kita mahu. Jika dasar ini menjejaskan daya saing negara, ia bukan agenda Bumiputera. Jika dasar ini menggalakkan amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, ia bukan agenda Bumiputera.

“Malah, jika dasar ini menyekat peluang yang adil untuk kaum lain maju dan berjaya, ia juga bukan agenda Bumiputera,” katanya ketika menyampaiKan ucapan dasar PAT, pagi tadi.

Muhyiddin berkata, agenda yang dicadangkan pada perasmian himpunan Pemuda dan Wanita PPBM 2 hari lalu itu penting bagi memastikan semua rakyat di negara ini dilayan sama rata, tanpa ada satu kumpulan pun yang ketinggalan.

Katanya, dalam semangat Malaysia Baru, negara mesti mengiktiraf penglibatan semua kaum dalam pelbagai sektor ekonomi secara adil kerana ia penting bagi wewujudkan kemakmuran bersama.

“Kita mahu orang Melayu maju dan semua kaum lain juga maju. Kita tidak akan merampas apa-apa hak daripada kaum lain untuk kita berjaya.

“Bagi saya, inilah ideologi PPBM dalam perjuangan kita memartabatkan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera. Kita tidak menyimpan prasangka terhadap kaum lain. Kita yakin dengan potensi yang ada pada diri kita sendiri,” katanya lagi.

Dengan itu katanya, agenda tersebut bakal dirangka dengan penglibatan semua pihak, termasuk badan ekonomi Melayu, dewan perniagaan semua kaum, pemain industri, ahli korporat, pakar ekonomi, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan dan parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“Untuk itu, kejayaan dasar ini amat bergantung kepada faktor pertumbuhan ekonomi yang rancak dan mapan.

“Ekonomi negara mesti dipastikan berkembang dengan pesat, barulah hasil kemakmuran negara dapat dirasai oleh semua rakyat,” katanya.

Muhyiddin dalam pada itu yakin orang Melayu pada akhirnya mampu berdikari serta boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lain selepas ini.

Semalam, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya berkata, bahawa PPBM hanyalah pelindung sementara untuk orang Melayu yang ketika ini dilihat banyak ketinggalan berbanding kaum lain.

Beliau berkata, orang Melayu berkemampuan menjadi kaya dan maju seperti kaum lain, jika setiap seorang menggunakan setiap kebolehan yang ada.

Pehimpunan yang bermula Jumaat lepas dan dijadualkan berakhir hari ini merupakan perhimpunan pertama PPBM selepas parti itu mengambil alih Putrajaya bersama-sama PH dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.