Dr M pertimbang ucapan Rashid, fikir cara adil, sah

Dr M pertimbang ucapan Rashid, fikir cara adil, sah

Pengerusi PPBM berkata ada ahli yang memohon tender sebenarnya layak tetapi didiskriminasi kerajaan dulu.

Dr Mahathir Mohamad meminta semua pihak jangan buat andaian negatif.
PUTRAJAYA:
Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad akan mempertimbangkan ucapan Naib Presiden Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berhubung penggunaan kekuatan kerajaan untuk pertahankan kemenangan.

Beliau yang juga perdana menteri berkata pihaknya akan memikirkan cara yang adil dan tidak melanggar undang-undang.

“Kami semua menentang gejala rasuah tetapi terdapat segelintir orang yang layak, mereka sudah didiskriminasi sewaktu kerajaan terdahulu.

“Mereka kini rasakan mereka mempunyai peluang untuk mendapatkan tender dalam sebarang kontrak,” katanya pada sidang media selepas ucapan penggulungan di mesyuarat agung tahunan PPBM hari ini.

Dr Mahathir ditanya pemberita mengenai ucapan Rashid, yang terus-terang mengatakan parti-parti pemerintah harus memastikan ketua-ketua bahagian mampu mempertahankan kawasan mereka daripada seteru politik.

Beliau berkata pimpinan parti wajar memberi “senjata”, iaitu bantuan dan sokongan, kepada ketua-ketua bahagian dan cawangan agar wakil-wakil parti itu boleh berkhidmat dengan lebih berkesan di kawasan masing-masing.

“Tidak usah cakap sombong, bahawa jangan rampas kerja orang, ambil itu dan ini. Bagi saya pandangan itu pandangan bodoh. Dalam pilihan raya, dengan apa cara sekalipun, kita mesti menang,” katanya disambut tepukan gemuruh dan sorakan para perwakilan yang berdiri.

Pendirian Rashid itu dibidas oleh Ketua PPBM Negeri Sembilan Tan Sri Rais Yatim dan Ketua Penerangan Pemuda Ulya Aqamah Husamudin.

Dr Mahathir bagaimanapun meminta semua pihak untuk tidak membuat andaian negatif jika ada ahli parti diberi kontrak.

“Jika mereka dapat kontrak, jangan buat andaian mereka diberi kerana dari parti. Mereka sama layak dan seharusnya menang kerana sekarang ini tidak ada diskriminasi seperti diamalkan kerajaan dulu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.