
Perdana menteri berkata perbincangan akan memberi tumpuan tentang bagaimana untuk mengatasi kebimbangan PDAM selepas sistem apungan harga minyak secara mingguan bermula pada Selasa.
“Ya, mereka datang berjumpa, kita akan berbincang dengan mereka dan kita sedang cuba untuk menyelesaikan masalah ini. Saya akan berbincang dengan mereka esok jika mungkin dan kita akan berusaha mencari cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini, ” kata beliau kepada media selepas penutupan mesyuarat agung tahunan PPBM kali ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan mulai 1 Januari 2019, harga bahan api termasuk RON 95 akan mula diapungkan secara mingguan.
Pengumuman itu mendorong PDAM menggesa kerajaan untuk menaikkan kadar komisen bagi jualan bahan api untuk ahlinya bagi menampung kos operasi yang dijangka meningkat berikutan penetapan harga jualan runcit petroleum secara mingguan.
Ketika ditanya sama ada kerajaan bimbang sama ada kekurangan bekalan bahan api akan berlaku selepas sistem apungan harga bahan api mingguan dilaksanakan, Dr Mahathir berkata beliau hanya dapat memberi jaminan bahawa bekalan adalah mencukupi.
“Anda sentiasa meminta jaminan, ya saya hanya boleh memberi jaminan tetapi jika bekalan tidak mencukupi apa yang boleh saya lakukan,” katanya.