
Naib presiden Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Azrani Rustam berkata, peningkatan harga adalah perkara biasa dalam perniagaan, apabila mengambil kira, antara lain, peningkatan kos dan inflasi.
Beliau memberi respons terhadap laporan Astro Awani bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang menyiasat McDonald dan KFC berikutan aduan orang ramai mengenai kenaikan harga di kedai rangkaian makanan segera itu.
Azrani memberitahu FMT, walaupun mereka menyedari wujudnya undang-undang bagi mencegah kegiatan pengambilan untung berlebihan, namun ia tidak harus merampas hak pengguna untuk membuat keputusan bermaklumat sama ada mahu membeli sesuatu produk atau sebaliknya.
“Apabila peraturan mula campur tangan dalam bidang barangan bukan keperluan dan bukan kawalan harga, maka risikonya ialah kerajaan akan mula menolak dinamika harga barangan lain yang memberi kesan ke atas perniagaan dan akhirnya memberi kesan terhadap perjalanan lazim ekonomi pasaran bebas.
“Kami menggesa kerajaan supaya bersikap berhati-hati dalam isu ini,” katanya, dan menambah bahawa pengguna perlu digalakkan menggunakan hak memilih mereka.
Pakar ekonomi, Dr Yeah Kim Leng dari Sekolah Perniagaan Universiti Sunway berkata, pihak berkuasa boleh campur tangan sekiranya berlaku kenaikan harga tidak wajar kerana kekurangan persaingan.
“Bagaimanapun, susulan dinamika industri yng kompleks dan keadaan pasaran yang cepat berubah, sukar bagi pihak berkuasa membuktikan syarikat melanggar peraturan yang sukar dikuatkuasakan itu.”
Beliau berkata, jika kerajaan dilihat terlalu banyak campur tangan, tidak adil dan sukar dijangka, maka ia akan memberi kesan negatif ke atas sentimen perniagaan.
“Oleh sebab itu, kerajaan oleh campur tangan apabila jelas berlaku atau berleluasanya amalan perniagaan tidak beretika.”
Yeah berkata, kerajaan perlu menggalakkan lebih banyak persaingan dan menambah bilangan peserta pasaran.
Tokoh perniagaan, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, di bawah Akta Kawalan Harga dan Akta Anti Pencatutan, pihak berkuasa diberi kuasa untuk menyiasat aduan mengenai peningkatan harga tidak munasabah.
“Mereka biasanya akan mendapatkan penjelasan daripada syarikat dan menilai sama ada kenaikan harga itu diwajarkan oleh peningkatan kos,” kata Ameer, yang merupakan pengarah urusan rangkaian pasar raya Mydin.
Ameer yang juga naib presiden Persatuan Peruncit Bumiputera berkata, masalah dengan kedua-dua akta itu ialah ia menghapuskan kefleksibelan syarikat untuk menyesuaikan harga apabila perlu.
“Katakan sebungkus kopi kini berharga RM5, sementara baju-T RM10. Tiba-tiba berikutan kekurangan dalam pasaran, harga kopi meningkat ke RM10.
“Sebagai peniaga, saya akan mengekalkan harga kopi sekitar RM5 kerana lebih ramai orang menggunakan produk itu, dan bagi mengimbangi kerugian 2 bungkus kopi, saya akan menaikkan harga baju-T kepada RM20.
Beliau berkata, undang-undang menyebabkan syarikat tidak berminat untuk memasuki pasaran, sedangkan persaingan merupakan penyelaras harga yang lebih baik.