Anwar pertahan saf pimpinan pusat walau dibantah Azmin

Anwar pertahan saf pimpinan pusat walau dibantah Azmin

Presiden PKR tidak akan mengkaji semula keputusan majlis pimpinan pusat yang dibantah Timbalan Presiden Azmin Ali.

Gambar Bernama.
PORT DICKSON:
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mengkaji semula keputusannya mengenai pelantikan kepimpinan pusat parti itu sebagaimana diminta Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Tidak ada keperluan bagi saya berbuat demikian oleh kerana nama-nama berkenaan telahpun diluluskan oleh majlis.

“Saya telah ambil masuk kedua-dua puak. Jika anda lihat, saya telah lantik Ali Biju (sebagai naib presiden) yang merupakan penyokong Azmin dan juga ketua penerangan (Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin) yang juga penyokong beliau,” kata Anwar ketika ditemui selepas menghadiri program Pendidikan Demo Neuro di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Springhill hari ini.

Anwar juga menafikan beliau menghadapi isu dengan Azmin selepas beliau mempersoalkan cara pemilihan orang-orang yang dilantik ke dalam majlis pimpinan pusat PKR.

Anwar berkata hasratnya semata-mata untuk melindungi kepentingan semua anggota PKR dan bukan puak tertentu.

“Anda tidak boleh masukkan semua penyokong anda ke dalam majlis,” kata beliau.

Sebelum ini, Azmin berkata pelantikan itu tidak mencerminkan prinsip mewakili aspirasi anggota secara adil dan saksama.

Sementara itu, dalam program Himpunan Pencak Pendekar Pesilat Bangsa Beradat yang diadakan di Pantai Cahaya Negeri, Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam ucapannya menyeru agar seni persilatan dihidupkan kembali bagi membentuk jati diri anak muda supaya lebih berdisplin dan terhindar dari masalah gejala sosial.

“Apa ertinya pembangunan, mempunyai bangunan pencakar langit serta teknologi canggih jika kita hilang seni dan kebudayaan kita sendiri.

“Kita mahu menghidupkan kembali seni budaya persilatan ini di setiap daerah, taman perumahan dan kampung,” katanya.

Seramai 900 pesilat daripada pertubuhan dan persatuan silat dari Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur menyertai program itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.