4 daerah Narathiwat digegar letupan bom, kejadian tembak-menembak

4 daerah Narathiwat digegar letupan bom, kejadian tembak-menembak

Insiden berlaku sejak petang Jumaat dan berlanjutan sepanjang malam.

Motif serangan adalah untuk merampas senjata api digunakan anggota keselamatan yang bertugas tetapi gagal. (Gambar Facebook)
NARATHIWAT:
Empat daerah di wilayah Narathiwat, selatan Thailand digegarkan dengan 8 letupan bom dan insiden tembak-menembak antara individu bersenjata dengan anggota pasukan keselamatan.

Insiden keganasan itu berlaku sejak petang Jumaat dan berlanjutan sepanjang malam.

“Kami telah mengarahkan agar semua anggota polis di wilayah Narathiwat diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga khususnya mereka yang bertugas di pos keselamatan,” kata Ketua Polis Narathiwat Mej Jen Dusadee Choosankij di sini.

Siri keganasan bermula pada 6.30 petang Jumaat (waktu tempatan) apabila sekumpulan individu bersenjata menyerang hendap pos keselamatan di Mukim Kalisa di daerah Ranget, wilayah terbabit.

Drama tembak-menembak menggunakan senjata ringan serta pelancar bom M79 berlarutan dalam 10 minit, tanpa mengakibatkan sebarang kecederaan atau kematian di kedua-dua pihak.

Menurut sumber polis tempatan, motif serangan hendap itu adalah untuk merampas senjata api digunakan oleh anggota keselamatan yang bertugas tetapi gagal.

Penyerang tidak dikenali itu turut menebar paku dan menebang pokok di laluan menuju ke pos keselamatan terbabit bagi menghalang penghantaran bantuan oleh anggota keselamatan yang berhampiran.

Sementara itu di daerah Chana, 4 butir bom yang menyasarkan tiang elektrik diletupkan.

Letupan bom turut dilaporkan berlaku di daerah Sisakorn dan Takbai, tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, 4 pengguna jalanraya cedera ringan dalam satu lagi kejadian serangan bom di Kampung Sako Jumaat malam.

Pihak keselamatan Thailand turut menemui 18 butir bom buatan sendiri di 3 daerah Narathiwat yang kemudian dimatikan anggota skuad pemusnah bom.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.