Dolar AS tertekan, ringgit dibuka tinggi

Dolar AS tertekan, ringgit dibuka tinggi

Kebimbangan terhadap pertumbuhan perlahan ekonomi global dan pasaran ekuiti yang tidak stabil memberi tekanan kepada dolar AS.

Kenaikan pasaran tempatan dibantu oleh pemulihan harga minyak mentah.
KUALA LUMPUR:
Ringgit kekal tinggi berbanding dolar AS hari ini bagi 3 hari berturut-turut apabila kelemahan dolar AS meransang permintaan terhadap mata wang selamat lain dan juga mata wang negara sedang pesat membangun, kata para peniaga.

Pada 9.05 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1600/1630 berbanding dolar AS daripada 4.1660/1700 pada paras penutup Khamis.

Seorang peniaga berkata, satu lagi sesi dagangan yang turun naik di Wall Street malam tadi berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan perlahan ekonomi global dan pasaran ekuiti yang tidak stabil telah memberi tekanan kepada dolar AS.

“Sentimen pelabur dalam kelas aset berisiko telah mereda dan ini memberikan kelebihan kepada mata wang lain, terutamanya mata wang selamat seperti yen dan mata wang negara sedang pesat membangun,” katanya.

Beliau juga berkata, kenaikan dalam pasaran tempatan dibantu sebahagiannya oleh pemulihan harga minyak dengan minyak mentah Brent melonjak 2.56% kepada AS$54.08 setong (semasa tempoh dagangan Asia).

Pada paras pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7521/7559 daripada 3.7576/7618 pada Khamis dan naik berbanding pound Britain kepada 5.2599/2641 daripada 5.2600/2667.

Bagaimanapun, ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0341/0374 daripada 3.0329/0369 dan turun berbanding euro kepada 4.7599/7650 daripada 4.7459/7521.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.