
Ketua Pemuda PAS itu berkata, Lim dilihat cuba mengalihkan isu dengan membesar-besar perkara remah susulan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji kepada rakyat termasuklah cuba menenggelamkan ketegangan yang berlaku antara parti komponen kerajaan itu.
“Lim Kit Siang ini sengaja nak alihkan isu kegagalan PH tunai janji kepada rakyat dan kemelut dalaman PH yang sedang berkecamuk,” katanya kepada FMT.
Khalil mengulas kenyataan terbaharu Lim yang mempersoalkan sama ada amaran beliau terhadap umat Islam supaya tidak membuat ucapan Krismas di Facebook adalah pendirian PAS atau pandangan peribadinya sendiri.
Lim membangkitkan perkara itu kerana pendirian pemimpin PAS lain berbeza berhubung sambutan Krismas melibatkan orang Islam.
“Soalan ini timbul selepas Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan membuat ucapan Krismas, meskipun Khalil mengeluarkan peringatan tersebut.
“Siapakah yang mempunyai kuasa lebih besar dalam PAS, setiausaha agung PAS atau ketua Pemuda PAS yang juga anak presiden PAS?,” soal Lim.
Mengulas lanjut, Khalil menjelaskan konteks kenyataan beliau dan Takiyuddin berbeza berhubung sambutan Krismas, sambil menyifatkan Lim gagal memahami intipati yang ingin disampaikan.
Adun Batu Buruk itu berkata, kenyataannya lebih menjurus kepada larangan kepada umat Islam menyambut Krismas tetapi dibenarkan untuk membuat ucapan kepada rakan, bukannya dibuat secara suka-suka tanpa asas yang munasabah.
“Dalam ucapan saya pun ada sebut mengucap Krismas diizinkan jika ada keperluan contohnya kepada jiran atau ketua negara kepada rakyatnya dan lain-lain.
“Jika suka-suka nak ucap krismas dalam Facebook dan lain-lain tidak boleh kerana tiada keperluan dan apa yang saya bicarakan selari dengan kenyataan mufti Wilayah Persekutuan,” katanya sambil memaklumkan penyokong PAS tidak termakan dengan provokasi Lim.
Sebelum ini, Khalil dalam kenyataan berkata, umat Islam diingatkan supaya tidak menyambut Hari Krismas kerana ia adalah hari kebesaran penganut agama Kristian yang bertentangan dengan akidah Islam.
Katanya, sambutan Hari Natal melibatkan perbuatan yang mensyirikkan Allah dengan mendakwa kononnya Nabi Isa adalah anak Tuhan yang jelas bertentangan dengan 3 sifat ketuhanan.
Menjawab persoalan Lim yang bertanya adakah beliau lebih berkuasa dari Takiyuddin, Khalil secara berkias berkata pemimpin DAP itu perlu sedar adakah beliau lebih berkuasa daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melibatkan isu pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Bercakap soal siapa berkuasa, sepatutnya ditanya kepada Kit Siang, siapa lebih berkuasa Kit Siang atau perdana menteri, perdana menteri tidak setuju dengan pilihan raya PBT tapi Kit Siang dan menteri-menteri lain mahu laksanakan PBT,” katanya.