
PETALING JAYA. PAS menolak dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa sekolah kebangsaan berubah menjadi ke arah sekolah agama.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata Kementerian Pendidikan mungkin salah memberi penerangan kepada perdana menteri.
Bertentangan dengan kepercayaan Dr Mahathir, beliau menambah, selalunya ada penekanan pada sains dan teknologi semulajadi berbanding pelajaran agama walaupun di sekolah agama yang merupakan sebahagian dari sistem kebangsaan.
“Tidak ada sekolah kebangsaan yang menjadi sekolah agama,” katanya kepada FMT.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata beliau juga menasihatkan wakil Pemuda parti untuk bertemu Maszlee Malik berhubung isu itu dan mendesak menteri pendidikan itu memberikan gambaran yang lebih jelas kepada Dr Mahathir.
Sementera itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, terdapat sedikit penekanan terhadap pengajian agama di sekolah kebangsaan.
Beliau merujuk penyelidikan yang dilakukan oleh Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (PAGE) yang mendapati pengajian agama adalah 15% daripada kurikulum.
“Ini bermakna ia terlalu rendah,” katanya. “Peratusan itu perlu ditingkatkan.”
Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi PPBM Tariq Ismail menyuarakan sokongannya terhadap kenyataan Dr Mahathir, mengatakan tinjauan sikap umat Islam yang melalui sistem sekolah kebangsaan membuktikan kenyataan perdana menteri adalah tepat.
Beliau mendakwa terdapat bukti apa yang disebut sebagai “mentaliti terkepung” dalam kalangan mereka yang berusia 35 tahun dan ke bawah.
Beliau mengaitkannya dengan “penggunaan agama untuk mengawal majoriti” dan mengatakan ini menyebabkan “regresi dan kerencatan” masyarakat Islam.
“Saya dengar banyak cerita dan melihat melalui rakan-rakan anak saya bahawa mentaliti ekstremis dan pemisahan meresap melalui kumpulan umur ini,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan membangunkan sistem pendidikan yang akan mengajar kanak-kanak berdikari dalam pemikiran mereka untuk menjadi kuat dalam mencari ilmu pengetahuan.