
Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah berkata ia adalah penyelesaian terbaik, berikutan kebimbangan disuarakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pilihan raya PBT akan menyebabkan sesebuah bandar dikuasai kaum tertentu saja.
“Mungkin jika pilihan raya ini dilihat hanya akan dikuasai kaum majoriti tertentu, mungkin ada baiknya kita membuat lantikan mengikut ratio (nisbah) dan adil bagi semua kaum. Itu jauh lebih baik daripada terus berbalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kecaman yang diterima Hadi terhadap kenyataannya itu dalam satu sesi dialog di London pada Selasa, dengan ada hadirin dialog itu mengecamnya sebagai rasis.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sebelum ini berkata, kajian pelaksanaan pilihan raya PBT dilakukan dengan mengambil contoh negara lain, tetapi akan mengikut acuan tempatan yang mengambil kira sentimen dan sensitiviti rakyat.
Julai lalu, Zuraida dilaporkan berkata, kementeriannya berhasrat mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam masa 3 tahun dan pilihan raya itu hanya dapat dilakukan setelah “keadaan kewangan dan ekonomi negara stabil”.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kemudiannya dilaporkan berkata, ia tidak mungkin berlaku kerana akan bimbang konflik perkauman dan perpecahan di bandar serta luar bandar.