
Ketua Pengarah Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib berkata kerajaan seharusnya lebih tegas mengenakan hukuman kepada ibu bapa yang menolak suntikan seperti yang dilaksanakan di beberapa negara lain.
“Mereka yang mengamalkan ‘saya tidak mahu anak saya divaksin tetapi bergantung kepada imuniti orang lain’ mengancam bukan sahaja anak mereka tetapi juga beribu kanak-kanak lain dan termasuklah golongan dewasa.
“Mereka hanya mementingkan diri sendiri. Ini bukannya isu hak kebebasan memilih atau ekspresi. Ia merupakan isu hidup atau mati. Kita mesti mencegah penyakit sebaik yang mungkin,” katanya kepada FMT.
Azrul menambah, ibu bapa yang menolak vaksinasi merisikokan anak mereka untuk lebih mudah dijangkiti penyakit berbanding kanak-kanak yang sudah mendapatkan suntikan itu.
Katanya, ibu bapa sepatutnya lebih terbuka kerana penggunaan vaksin dilihat mampu menjadi pencegah kepada pelbagai penyakit berbahaya seperti penyakit polio, difteria, pertusis, demam campak, pneumokokal, dan kanser pangkal rahim.
“Ibubapa yang menolak vaksinasi meletakkan anak mereka dalam bahaya, dan membuatkan mereka rentan terhadap kemungkinan dijangkiti penyakit. Penyelesaian ibu bapa seperti ini adalah mudah iaitu bergantung kepada rawatan alternatif (seperti homeopati), pseudosains, doa dan nasib.
“Akibatnya, terdapat kemunculan dan kebangkitan semula penyakit-penyakit yang dahulunya jarang dilaporkan seperti beguk dan batuk rejan (pertusis) di kawasan-kawasan bandar seperti Putrajaya,” katanya.
Kerajaan tidak paksa tapi beri nasihat
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata kementerian masih belum bercadang untuk menetapkan undang-undang bagi mengenakan hukuman terhadap ibu bapa yang enggan memberikan suntikan vaksin kepada anak-anak mereka.
Katanya, pada ketika ini kerajaan tidak akan memaksa ibu bapa supaya memberikan suntikan tersebut, namun akan memainkan peranan dengan memberikan nasihat supaya suntikan itu diambil.
“Setakat ini kerajaan tidak ada undang-undang untuk mewajibkan vaksin untuk kanak-kanak, malah belum ada cadangan untuk paksa atau kenakan hukuman kepada ibu bapa yang tidak memberi kebenaran (menyuntik vaksin).
“Tetapi amalan biasa apabila ibu bapa tidak memberi kebenaran untuk vaksin, kita akan rujuk mereka kepada kita supaya dinasihatkan. Kalau mereka tidak mahu memang kita tidak boleh paksa,” katanya ketika dihubungi FMT.
Lee berkata ketika ini, sudah 95% ibu bapa memilih untuk memberikan suntikan vaksin kepada anak-anak mereka meskipun ia masih lagi belum diwajibkan.
Beliau bagaimanapun berkata peratusan yang tinggi itu tidak akan mengekang kerajaan untuk terus menasihati ibu bapa yang turut dianggap sebagai “anti-vaksin” untuk memberikan suntikan tersebut terhadap anak-anak mereka.
“Kita pandang serius juga sebab kadang-kala penyakit itu, jangkitan itu sepatutnya boleh dielakkan dan sesetengah penyakit ini mungkin serius dan boleh membawa maut. Jadi kita pandang serius walaupun cuma 5% yang tidak menerima vaksin,” katanya.