Majikan perlu masa carum Perkeso kepada pekerja sambilan

Majikan perlu masa carum Perkeso kepada pekerja sambilan

MEF berkata ia membolehkan majikan melaksanakannya secara teratur dan menyeluruh bagi mengelakkan berlaku sebarang pada masa akan datang.

Perkeso sangat membantu dalam memberi perlindungan kepada pekerja sambilan jika berlaku kemalangan di tempat kerja. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mahu kerajaan memberi masa sekurang-kurangnya setahun kepada majikan untuk melaksanakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pekerja sambilan.

Pengarah Eksekutif Datuk Shamsuddin Bardan berkata tempoh itu perlu diberikan supaya majikan dapat melaksanakannya secara teratur dan menyeluruh bagi mengelak masalah lain pada masa akan datang.

“Dari segi perundangan seorang pekerja sambilan memang kena mencarum kepada Perkeso. Tetapi memang kebanyakan majikan tidak mematuhi peruntukan berkenaaan atas alasan pekerja itu tidak bekerja untuk jangka masa yang panjang dan menganggap ia sukar untuk dilaksanakan.

“Ikut undang-undang ia memang wajib cuma ia tidak dilaksanakan dengan tegas pada masa ini. Majikan perlu diberikan masa yang berpatutan untuk melaksanakannya dan tempoh sekurang-kurangnya setahun diperlukan untuk dilaksanakan,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata semua pekerja termasuk pekerja sambilan perlu memastikan majikan mereka mencarum dengan Perkeso bagi memastikan diri dilindungi jika berlaku kemalangan ketika bekerja.

Kulasegaran berkata mana-mana majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 93 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Semua majikan mesti mendaftar dan dengan itu semua pekerja akan dilindungi kerana skim Perkeso merangkumi semua rakyat. Jika kita panggil orang potong rumput pun, dia mesti dilindungi kerana melakukan kerja sambilan, bukan hanya kerja sepenuh masa,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata caruman Perkeso sangat membantu dalam memberi perlindungan kepada pekerja sambilan yang seterusnya menggalakkan mereka keluar bekerja terutamanya suri rumah.

Malah katanya, ia secara tidak langsung membantu mengurangkan kebergantungan majikan terhadap pekerja asing.

“Sebenarnya ia wajib kepada kedua-dua belah pihak. Majikan perlu mencarum Perkeso kepada pekerja sambilan mereka, dan pekerja sambilan juga perlu bersetuju untuk dicarum.

“MEF memang menyokong perkara ini kerana ia memberi faedah kepada pekerja sambilan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.