Lebih 5,000 pengikut berhimpun di sebalik sentimen anti-Ahmadiyah

Lebih 5,000 pengikut berhimpun di sebalik sentimen anti-Ahmadiyah

Perhimpunan 'Jalsa Salanah' yang berlangsung selama 3 hari itu dihadiri pengikut dari dalam dan luar negara seperti Pakistan, Indonesia, Kemboja, UAE dan Jerman.

Lebih 5,000 pengikut hadir dalam himpunan tahunan yang dijalankan selama 3 hari minggu lalu.
PETALING JAYA:
Lebih 5,000 pengikut ajaran Ahmadiyah berkumpul bagi mengadakan perhimpunan tahunan kali ke-33 di sebuah pusat peranginan di Selangor, walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan fahaman itu sebagai terkeluar daripada Islam.

Jurucakap Jamaah Muslim Ahmadiyah Malaysia, Ainul Yaqeen Sahib berkata, perhimpunan itu berlangsung selama 3 hari bermula sejak Jumaat lalu dan berakhir pada Ahad. Bahkan perhimpunan yang dikenali sebagai “Jalsa Salanah” itu turut dihadiri pengikut dari luar negara.

“Jumlah kehadiran semuanya dalam 5,000 lebih di mana dalam program, ia dimulakan dengan solat tahajud berjemaah, kemudian kita ada kuliah Subuh dan selepas sarapan pagi semua anggota bersiap untuk pergi ke lokasi pertemuan Jalsa Salanah. Ini himpunan di peringkat Malaysia.

“Memang setiap tahun kita ada lakukan himpunan tahunan dan kita buat di lokasi berbeza bergantung kepada kapasiti tempat berkenaan. Ada yang datang dari Pakistan, Indonesia, Kemboja bahkan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jerman juga ada. Kita undang sesiapa sahaja yang dapat datang,” katanya kepada FMT.

Ainul berkata kemuncak acara himpunan itu dilakukan pada Ahad dengan sesi ceramah yang disampaikan 8 penceramah termasuk dirinya. Ceramah yang diberikan bersifat kerohanian, ilmiah dan berbentuk motivasi bagi mendekatkan diri kepada tuhan.

“Semuanya ada 8 penceramah. Tahun ini kita lakukan di satu tempat di Selangor, memandangkan kawasannya yang luas. Hal ini kerana jumlah kami semakin lama semakin membesar, jadi kalau lakukan di dewan maka ia tidak muat. Jadi, kita buat di kawasan yang memudahkan pengikut untuk hadir,” katanya.

Pada 6 Julai lalu, pengikut fahaman Ahmadiyah berjaya mendapatkan hak dari Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk menjalankan ibadat tanpa diganggu pihak berkuasa agama Islam Selangor. Hakim mahkamah menetapkan keputusan itu atas dasar pihak berkuasa agama Islam di Selangor tidak mengiktiraf Ahmadiyyah sebagai cabang Islam.

Mahkamah merujuk kepada fatwa diwartakan di Selangor pada 2001 yang mengisytiharkan pengikut ajaran itu sebagai sesat, oleh itu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak mempunyai kuasa menyiasat dan mendakwa pengikut fahaman berkenaan atas kesalahan bawah Enakmen Jenayah Islam Negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusuf ketika itu menjelaskan, keputusan mahkamah itu tidak bermakna beliau memihak kepada pengikut ajaran Ahmadiyah dan membenarkan fahaman itu disebarluaskan di seluruh negara.

‘Jalsa Salanah’ pengikut Ahmadiyah yang dijalankan di salah satu pusat peranginan di Selangor.

“Ahmadiyah mereka beroperasi di bawah Perkara 11 Perlembagaan, iaitu kebebasan beragama. Jadi di atas dasar itulah perkara ini perlu dilihat mengikut kerangka undang-undang yang ada.

“Saya bercakap atas dasar kerangka undang-undang. Ia tidak bermakna saya suka kepada mereka. Ia juga bukan bermakna saya katakan biarlah mereka lakukan apa sahaja,” kata Mujahid.

Pada 1975, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Agama Islam Malaysia menetapkan penganut Ahmadiyah sebagai terkeluar daripada Islam. Fatwa itu diperkukuhkan lagi apabila mesyuarat Majlis Raja-raja ke-101 pada tahun sama mempersetujui fatwa itu.

Kebanyakan umat Islam dari arus perdana percaya aliran Ahmadiyah yang berdasarkan ajaran Mirza Ghulam Ahmad dari Qadian, India sebagai sesat kerana pengikutnya percaya Mirza ialah penyelamat dan merupakan Imam Mahdi dan juga Isa al-Masih.

Ainul sewaktu ditemui FMT pada Julai 2016 di Darussalam, bangunan sederhana 3 tingkat di Kampung Nakhoda, Batu Caves, yang menjadi pusat komuniti pengikut fahaman berkenaan di Malaysia sejak 1950-an menyatakan, mereka menjalani tuntutan agama seperti umat Islam lainnya termasuk puasa di bulan Ramadan dan merayakan Hari Raya Aidilfitri.

“Sama sahaja dengan orang Islam lain. Al-Quran yang kami baca ini bukan cetakan Ahmadiyah. Pihak berkuasa agama kata kami menukar ayat dalam Al-Quran. Saya minta mereka periksa naskhah kami, mereka terdiam dan gagal membuktikannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.