Pemegang konsesi LPT siasat kakitangan gerai R&R pukul pemandu bas

Pemegang konsesi LPT siasat kakitangan gerai R&R pukul pemandu bas

Rakaman video seminit 48 saat yang tular menunjukkan pergaduhan antara kakitangan R&R dengan seorang pemandu bas ekspres dikatakan berlaku pada pukul 1.30 pagi, semalam.

Pemandu bas terbabit dikatakan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Pahang, awal pagi semalam. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Pemegang konsesi Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad menyiasat kejadian pergaduhan yang dilaporkan antara kakitangan gerai kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang di sini, dengan seorang pemandu bas ekspres yang tular di laman sosial.

Anih Berhad menerusi kenyataan media di sini hari ini berkata, kakitangan kedai terlibat akan dikenakan tindakan tatatertib sewajarnya mengikut prosedur tetap operasi syarikat, jika didapati bersalah.

“Tindakan kakitangan itu merupakan tingkah laku peribadi dan tidak melambangkan atau menggambarkan prinsip syarikat.

“Syarikat tidak bertolak ansur terhadap sesiapa yang terlibat dengan kejadian yang boleh menggugat kesejahteraan dan keselamatan pengguna lebuh raya,” menurut kenyataan itu.

Anih Berhad yang kesal dengan kejadian itu menegaskan jaminan keselamatan dan ketenteraman awam pengguna adalah keutamaan mereka.

Rakaman video selama seminit 48 saat itu yang tular hari ini, menunjukkan pergaduhan antara kakitangan R&R terlibat dengan seorang pemandu bas ekspres yang dikatakan berlaku pada pukul 1.30 pagi, semalam.

Punca pergaduhan dipercayai akibat pemandu bas mengugut mahu melempang seorang pelayan yang menggunakan bahasa kesat terhadapnya, menyebabkan beliau dipukul oleh beberapa individu selepas selesai minum.

Anih Berhad menambah mereka difahamkan pemandu bas berkenaan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, dekat sini pada pukul 5 pagi semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.