
Sementara orang-orang muda dari kaum-kaum tempatan meninggalkan desa untuk berhempas pulas di bandar, ramai meninggalkan kebun, ladang dan sawah tanpa diusahakan.
Tinjauan FMT di sekitar kawasan sawah di Selangor mendapati kebanyakan mereka yang tinggal di desa sudah lanjut usia dan tiada lagi tenaga untuk membanting tulang di ladang, kebun dan sawah.
Akibatnya, warga asing, terutama dari Bangladesh, mengambil peluang menceburi bidang-bidang yang kosong, termasuk kerja-kerja sawah dan ladang.
Di Tanjong Karang, yang terletak lebih 80km dari Kuala Lumpur, pekerja-pekerja asing membantu warga desa menguruskan sawah, dengan mengambil upah meracun, menebas rumput dan menabur baja.
Di luar musim menuai, mereka akan mengambil upah bekerja di ladang kelapa sawit dan memotong rumput di sekitar kawasan kediaman.
Md Iman Hussein, 36, dari Dhaka, mendedahkan upah membantu pesawah tempatan lebih untung berbanding bekerja di sektor pembinaan atau bekerja di Kuala Lumpur, memandangkan kos sara hidup di desa lebih rendah.

Iman memberitahu sepanjang 7 tahun dia mengambil upah mengerjakan sawah daripada pemilik tanah, kehidupannya makin selesa dan mampu menabung.
“Saya pernah bekerja di ladang kelapa sawit di Kedah selama 3 bulan, namun terpaksa mencari tempat kerja lain setelah tidak dibayar upah oleh majikan. Saya kemudian ambil upah potong rumput di tepi lebuh raya di Kajang. Di situ pun, majikan tidak bayar upah.
“Kemudian, saya datang ke Tanjong Karang. Sudah 7 tahun di sini. Saya kerja sembur racun dan tabur baja di sawah orang Melayu. Susahlah sikit kerja tapi upah dibayar setiap bulan,” kata Iman.
Iman memperoleh upah RM50 bagi setiap petak sawah yang diusahakan bersama 2 rakannya. Menurutnya, upah itu kemudian dibahagi 3 dan dengan bahagian itulah dia menjalani hidup seharian.
Dia belajar selok-belok pekerjaannya di sawah, menggunakan wang sendiri untuk membeli mesin racun, mesin potong rumput, mesin tabur baja dan sebagainya di Sekinchan.
“Awal musim padi, saya dan 2 kawan boleh usaha 4 petak sawah setiap hari,” katanya.
Iman menghantar antara RM800 dan RM1,000 setiap bulan untuk isteri dan anak-anak di Bangladesh.

Kotor, bahaya, sukar
Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran pernah berkata, rakyat Malaysia sanggup melakukan kerja kotor, berbahaya dan sukar (3D) di negara lain kerana upahnya dianggap berbaloi dan insentif lebih baik.
Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 28 Mac lalu menyatakan dengan paras upah lebih menarik, tenaga kerja Malaysia akan sanggup melakukan kerja 3D di negara sendiri.
Daripada kira-kira 200,000 rakyat Malaysia berulang-alik antara Malaysia dan Singapura, 40% bekerja dalam kategori pekerjaan kemahiran sederhana dan rendah. Ini termasuk pekerjaan yang tidak diminati seperti operator dan pemasang jentera dan mesin, tukang cuci dan buruh kasar.
“Dengan upah lebih menarik, tenaga kerja Malaysia akan sanggup melakukan kerja 3D. Meskipun ini hanyalah satu contoh, keadaan ini menunjukkan upah semasa di Malaysia mungkin terlalu rendah untuk menarik minat pekerja tempatan,” kata BNM.
‘Bangla’ sanggup
Menurut seorang lagi warga Bangladesh, Md Kubir, 29, yang sudah 2 tahun bekerja di Tanjong Karang, permintaan untuk pekerja Bangladesh bekerja di sawah makin meningkat.
“Setiap hari saya boleh usahakan 2 petak sawah. Selama 2 tahun saya tidak nampak anak Melayu ambil upah kerja sawah. Mereka cakap kerja ini susah,” katanya.
Kalau ada pun, katanya, hanyalah yang berusia dalam lingkungan 40-an.
Kubir, bagaimanapun, bimbang dengan tahap kesihatannya yang sedikit terjejas akibat mengambil upah meracun dan membaja di sawah.
“Setiap hari main dengan racun. Selera makan saya juga kurang. Saya sudah kurus sebab tidak lalu makan,” katanya.
Disebabkan itu, Kubir merancang mahu kembali ke tanah airnya awal tahun depan. Dia sudah berjaya menyimpan wang kira-kira RM10,000 untuk dibawa balik.
Bahasa bukan penghalang
Mohammad Akhbar Sarder, 43, dari Jashore, berkata, bahasa tidak menjadi penghalang bekerja di sawah. Beliau sudah 5 tahun bekerja di Tanjong Karang dan mempunyai isteri dan 3 orang anak di negara asal.
“Di Bangladesh juga saya kerja di sawah, tapi sawah di sana tidak sama. Di sini, sawah luas. Di sana kecil sahaja dan keluarga sendiri buat kerja.
“Di Bangladesh juga tidak guna racun serangga atau baja tambahan. Semua guna tangan, tak ada mesin. Tentulah hasil dan pendapatan tidak serupa,” katanya.
Akhbar mengakui dia pernah menjadi pendatang tanpa izin sebelum diambil bekerja secara sah oleh majikannya.
“Saya kumpul wang untuk buat visa kerja. Satu tahun saya bayar RM3,700. Kawan-kawan cakap 2019 bayaran visa mungkin RM4,000 lebih,” katanya.