Yadim larang wanita Islam sertai ‘ratu cantik’ Pesta Kaamatan

Yadim larang wanita Islam sertai ‘ratu cantik’ Pesta Kaamatan

Yadim Sabah menolak cadangan penganjur supaya wanita Islam di negeri ini dibenarkan menyertai pertandingan Unduk Ngadau.

Unduk Ngadau adalah pertandingan ratu cantik budaya Kadazandusun. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Sabah menolak cadangan Jawatankuasa Penganjur Pertandingan Unduk Ngadau Pesta Kaamatan peringkat negeri supaya wanita Islam di negeri ini dibenarkan menyertai pertandingan ratu cantik pesta berkenaan.

Pengarah Yadim Sabah Samin Ongki berkata Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Sabah serta fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Sabah dengan jelas menyebut larangan wanita Islam di negeri ini menyertai pertandingan ratu cantik itu, dan ia perlu terus dihormati oleh semua pihak.

Justeru, Samin memohon jawatankuasa penganjur Unduk Ngadau menghormati sensitiviti umat Islam dengan tidak meneruskan cadangan tersebut.

“Kita menghormati ia hanya sebagai satu cadangan tetapi tidak dapat mempertimbangkannya, dan saya memohon kepada setiap pegawai daerah di Sabah selaku pengerusi jawatankuasa Pesta Kaamatan di peringkat daerah tidak membenarkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan Unduk Ngadau.

“Ini bagi membantu menguatkuasakan undang-undang dan keputusan terdahulu,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas perkara itu, hari ini.

Semalam, laporan akhbar tempatan melaporkan Jawatankuasa Penganjur Pertandingan Unduk Ngadau Pesta Kaamatan peringkat negeri akan meneruskan usahanya mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa agama Islam di Sabah bagi membenarkan peserta Islam menyertai acara tahunan itu.

Pengerusinya, Joanna Kitingan dipetik sebagai berkata adalah penting untuk mengamalkan inklusiviti dalam pertandingan itu kerana acara berkenaan adalah sebahagian daripada cara mempromosi budaya Kadazandusun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.