Penilaian Rafizi dialu-alukan, tetapi lihat juga gambar besar, kata Redzuan

Penilaian Rafizi dialu-alukan, tetapi lihat juga gambar besar, kata Redzuan

Kerajaan berhadapan 'tugas pembersihan yang menggunung' yang tidak terhad kepada masalah ekonomi, tetapi juga melibatkan bidang politik dan sosial.

Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Yusof berkata, Kabinet bukan sahaja bertanggungjawab ‘memperbetulkan’ kelemahan silam, tetapi juga berhadapan cabaran mencipta nilai dalam banyak aspek pentadbiran kerajaan.
PETALING JAYA:
Seorang anggota Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tidaklah luar biasa populariti kerajaan jatuh semasa berlakunya kelembapan ekonomi, terutama sekali apabila kadar popularitinya memuncak selepas dipilih dalam pilihan raya.

Datuk Seri Redzuan Yusof dari PPBM, yang juga merupakan menteri pembangunan usahawan berkata, oleh sebab itu, bancian yang dipetik oleh bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dari PKR bahawa paras populariti Dr Mahathir merosot 20% 6 bulan selepas memenangi pilihan raya umum 9 Mei bukanlah petunjuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal.

Redzuan berkata, umum mengetahui Dr Mahathir berhadapan “tugas pembersihan yang menggunung”, sekali gus menambah bahawa ia tidak terhad kepada masalah ekonomi, tetapi juga melibatkan bidang politik dan sosial.

Katanya, Dr Mahathir dikenali sebagai pemimpin yang bersedia mengambil “langkah tidak popular” untuk kebaikan negara, seperti yang terbukti ketika berhadapan krisis kewangan pada lewat 1990-an yang mengundang kecaman dunia.

“Anda tidak boleh memuaskan hati semua orang,” kata Redzuan kepada FMT, apabila diminta respons beliau berhubung peningkatan rasa tidak senang orang awam terhadap cara kerajaan menangani isu.

“Ramai yang tidak gembira dan keadaan ini boleh difahami berikutan harapan yang tinggi kepada kerajaan. Perubahan tidak boleh dilakukan sekelip mata,” katanya.

Katanya, antara masalah dihadapi Dr Mahathir ialah “tekanan” berterusan akibat hutang kerajaan yang tinggi yang diwarisi daripada pentadbiran sebelum ini, pertelingkahan dalam kalangan parti komponen PH dan polarisasi kaum seperti yang dilihat dalam insiden kuil Hindu Seafield serta kontroversi berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Beliau berkata, menteri Kabinet bukan sahaja bertanggungjawab “memperbetulkan” kelemahan silam, tetapi juga berhadapan cabaran mencipta nilai dalam banyak aspek pentadbiran kerajaan.

Minggu lepas, Rafizi mengingatkan PH tentang keghairahan pasca pilihan raya yang kini merosot, dengan berkata, penerimaan orang ramai terhadap kerajaan PH menurun dengan pantas.

“Selepas beberapa bulan, rakyat tidak lagi berpuas hati dengan berita bekas pimpinan kerajaan dahulu didakwa atas tuduhan rasuah kerana selagi tiada perubahan ketara (dari segi mutu kehidupan rakyat) mereka akan berasa resah,” tulis beliau dalam satu artikel yang panjang.

Redzuan berkata, walaupun beliau mengalu-alukan penilaian Rafizi, perlu juga dilihat gambar besar yang sedang dihadapi, terutama sekali kerana Rafizi mewakili parti utama dalam gabungan PH.

“Rafizi bijak, tetapi beliau perlu membantu PH mentadbir negara ke arah yang lebih baik, bukannya menidakkan kami,” katanya.

Redzuan mengingatkan Rafizi bahawa populariti seseorang pemimpin biasanya tinggi apabila ekonomi negara baik.

“Anda perlu lihat pada titik di mana Tun Mahathir bermula. Beliau sedang mengutip puing-puing yang bertaburan, jadi berikannya sedikit masa,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.