Malaysia gantung import cili merah Vietnam 3 bulan lalu

Malaysia gantung import cili merah Vietnam 3 bulan lalu

Menteri pertanian dan industri asas tani berkata, penggantungan itu selepas mendapati cili merah Vietnam mengandungi sisa racun perosak melebihi tahap dibenarkan.

Salahuddin Ayub berkata, kerajaan mempertingkatkan kawalan kemasukan dan lambakan cili import di pasaran tempatan kerana hasil tani itu dikesan diseludup masuk untuk dijual dalam pasaran Malaysia. (Gambar Bernama)
MUAR:
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperketatkan kawalan kemasukan cili import yang tidak menepati tahap piawaian kualiti, keselamatan dan peraturan lain berkaitan racun perosak di pintu masuk negara, kata Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, kerajaan menggantung permit import cili merah Vietnam sejak 14 September lalu, selepas didapati mempunyai sisa racun perosak melebihi tahap dibenarkan, namun hasil tani itu dikesan diseludup masuk untuk dijual dalam pasaran negara.

Katanya, sejak penggantungan itu, kementeriannya menerusi Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Pemeriksaan Malaysia (Maqis) bekerjasama dengan Jabatan Kastam dan Kementerian Kesihatan bagi mempertingkatkan kawalan kemasukan serta lambakan cili import di pasaran.

“Terdapat satu kes baru, iaitu pada 17 Disember lepas. Maqis telah menahan 3 kontena di Pelabuhan Klang yang mengandungi cili dari Vietnam, yang dibawa bersama buah naga tanpa dokumen sah dan permit import.

“Berdasarkan pemeriksaan ke atas kontena terbabit, kuantiti cili yang ditahan sebanyak 14,250kg dalam setiap kontena,” katanya selepas program “Back to School Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram” anjuran Agro Bank hari ini.

Terdahulu, dalam program itu, 500 penerima terdiri anak asnaf menerima bantuan kelengkapan persekolahan seperti pakaian, kasut, stokin dan beg sekolah daripada Agro Bank.

Salahuddin berkata, Maqis berperanan memastikan produk import pertanian yang dibawa ke pintu masuk Malaysia bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar supaya tidak menjejaskan sektor pertanian negara.

Beliau berkata, bagi produk pertanian di pasaran yang didapati tidak mematuhi piawaian ditetapkan, ia di bawah tindakan dan seliaan Kementerian Kesihatan melalui Akta Keselamatan Makanan 1983.

Semalam, KKM mengesahkan 21 sampel cili yang dijual di pasaran tempatan tidak mematuhi Akta Keselamatan Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 berkaitan residu racun perosak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.