
M Jagesh berkata, syarikat pelayaran pesiaran besar akan membida kapal layar ke-54 paling besar di dunia itu melalui ejen mereka.
Beliau berkata, syarikat berkenaan mempunyai wang tetapi bersedia untuk menunggu lebih lama.
“Sama seperti kenderaan terpakai, sebuah vesel akan susut nilai semakin lama ia berlabuh di jeti,” katanya kepada FMT.
Jagesh juga berkata, tiada individu yang akan membeli Equanimity kerana kos penyelenggaraan bulanannya mencecah beberapa juta ringgit.
“Kapal layar begini biasanya akan dibeli oleh syarikat pesiaran besar yang beroperasi di negara Barat kerana adanya permintaan dalam kalangan orang kaya di sana untuk bersiar-siar di laut,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low, yang menyifatkan proses bidaan untuk menjual Equanimity yang gagal itu sebagai helah perhubungan awam Putrajaya.
Low dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam beliau berkata, tidak ada orang “waras” yang akan membeli Equanimity berikutan ketidakpastian tentang hak milikannya.
Awal minggu ini, peguam S Sitpah, yang mewakili kerajaan Malaysia berkata, mereka kini memasuki fasa kedua dalam bidaan untuk menjual Equanimity.
“Fasa pertama (kita) terima bidaan, tetapi bidaan yang diterima tidak memuaskan. Justeru, kita perlu beralih ke fasa kedua,” katanya.
Fasa kedua, kata Sitpah, merupakan jualan biasa melalui rundingan tertutup.
Jagesh berkata, kerajaan telah mematuhi semua peruntukan di bawah Ordinan Perkapalan Malaysia dalam usaha mencari pembeli untuk melepaskan Equanimity dan hak milik kapal layar tersebut tidak lagi dipersoalkan berikutan keputusan mahkamah mengenainya.
“Memang sukar untuk menjual kapal layar tersebut pada fasa pertama kerana harganya pastilah diturunkan. Bagaimanapun prospek untuk memperoleh pembeli melalui rundingan tertutup lebih cerah kerana ia hanya melibatkan persetujuan mengenai harga,” katanya.
Jagesh berkata, broker dan jurunilai yang dilantik dan memiliki reputasi di peringkat antarabangsa perlu memilih pembeli yang berpotensi dan berunding dengan mereka.
“Semuanya akan berjalan secara telus kerana syerif yang dilantik oleh mahkamah akan turut terlibat. Bagi saya, ia hanyalah persoalan harga,” katanya.
Jagesh berkata, Low, yang dikehendaki di negara ini dan di Amerika Syarikat berkaitan skandal 1MDB, membuat kenyataan media dengn tujuan mengeruhkan keadaan selain menyerang kerajaan Malaysia.
“Beliau sepatutnya melantik seorang peguam tempatan apabila kerajaan memfailkan tuntutan hak milik ke atas kapal layar tersebut di mahkamah, tetapi beliau tidak berbuat demikian kerana tidak mempunyai kausa tindakan,” katanya.
Pada 19 Okt lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan kerajaan dan 3 pihak lain merupakan pemilik sah Equanimity kerana wang 1MDB digunakan untuk membeli kapal layar tersebut.
Mahkamah juga memutuskan kapal layar itu boleh dijual kerana pemilik berdaftar Equanimity, yang beralamat di Kepulauan Cayman, tidak mencabar guaman berkenaan dan mencabar tuntutan kerajaan, 1MDB dan 2 anak syarikatnya.
Low didakwa menggunakan sebanyak AS$250 juta (RM1 bilion) wang 1MDB untuk membeli kapal layar itu.