
Presidennya Datuk Azih Muda berkata, pihaknya ketika ini sedang mengumpul segala input berkaitan untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi membantu proses merangka draf cadangan itu.
“Sejak SSM dilaksanakan pada 2002, sehingga kini sistem saraan sedia ada belum diubah. Kami berharap dengan adanya sistem baru ini, ia dapat mengambil kira cabaran 2020 pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Makan Malam Cuepacs Peringkat Negeri Kelantan yang turut dihadiri Pengerusi Cuepacs Kelantan, Aminuddin Awang di sini, malam tadi.
Azih berkata, sistem saraan baru itu dijangka dapat membantu penjawat awam menangani kos sara hidup berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan berbayar seperti elektrik dan kemudahan jalur lebar yang tidak terkawal.
Beliau berkata, sistem saraan lebih komprehensif itu dilihat mampu untuk menyuntik semula semangat dan meningkatkan lagi produktiviti penjawat awam ke tahap yang lebih tinggi sekali gus menyahut cabaran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar Malaysia dapat kembali sebagai Harimau Asia.