
Pakar reka bentuk bandar dari Universiti Hong Kong, Prof Madya Alain Chiaradia berkata, angka penggunaan pengangkutan awam di HK yang tinggi adalah susulan pemilikan kereta yang rendah walaupun jumlah penduduknya besar.

Bagaimanapun kata Chiaradia, keadaan di Pulau Pinang adalah sebaliknya.
“HK bukan model untuk dicontohi bandar raya lain kerana ia mempunyai konfigurasi yang ekstrem dari segi perancangan bandar dan tidak sama dengan bandar lain di dunia,” katanya pada satu syarahan di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia, semalam.
“Tidak mungkin Pulau Pinang boleh berkembang seperti HK kerana pada kedudukan anda sekarang, anda sudah terlalu lewat. Sekarang terdapat 1 juta kenderaan di Pulau Pinang.
“Di HK, angkanya tidak mencecah 600,000 buah kenderaan dan penduduknya berjumlah 7.5 juta orang.”
Beliau berkata, Pulau Pinang perlu mengurangkan angka kenderaannya kepada 70,000 buah.
Kata Chiaradia, bas transit Rapid (BRT) boleh menjadi pilihan terbaik untuk Pulau Pinang jika sistem transit massa atau sistem keretapi yang serupa terbukti terlalu mahal.
“Ambil langkah yang boleh dilaksanakan dan lihat pengangkutan awam manakah yang akan digunakan orang ramai,” katanya.
Menurut angka kerajaan, pada 2018, penduduk Pulau Pinang berjumlah 1.77 juta orang dengan 700,000 daripadanya tinggal di bahagian pulau negeri itu.
Dilaporkan terdapat lebih 1 juta kenderaan di negeri tersebut dan pakar pengangkutan menganggarkan nisbah kenderaan kepada penduduk adalah sebanyak 1:39.
Chiaradia juga ditanya tentang “keghairahan” Pulau Pinang untuk mencontohi HK dari segi pembangunan, termasuk dalam pengurusan pembinaan bangunan di lereng bukit.
Bulan lepas, ketika menjawab kritikan banyak pihak yang mendakwa kerajaan mengabaikan alam sekitar, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, HK tidak mungkin maju sekiranya ia mempedulikan kritikan dan menghentikan projek pembangunan berikutan bencana yang berlaku.
Chow berkata, HK maju dari sudut teknologi untuk melaksanakan pembangunan di lereng bukit yang paling curam sekalipun.
Bagaimanapun Chiaradia menolak anggapan bahawa HK telah membangunkan bukitnya.
Beliau berkata, hanya 25% daripada HK dibangunkan, sementara baki 75% meliputi lereng bukit.
Chiaradia berkata, tidak semua bukit di HK sesuai untuk pembangunan, dan realitinya ia sukar dibangunkan.
Beliau berkata, walaupun benar HK diurus dengan baik, namun kosnya juga sangat tinggi, dan bersesuaiaan dengan harga hartanahnya yang mahal.
“Pada mulanya HK juga berhadapan dengan bencana alam seperti taufan dan musim monsun.
“Mampukah anda membiayai sistem pengurusan lereng bukit?
“Setiap lereng bukit diurus dengan sistem pengenalan tertentu dan perbelanjaannya tinggi. Sangat mahal. Mampukah Pulau Pinang?”
Kerajaan Pulau Pinang berkata, ia akan menubuhkan sebuah unit geoteknikal seperti yang terdapat di HK berikutan kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus di Paya Terubong baru-baru ini yang meragut 9 nyawa pekerja binaan sebuah projek jalan lereng bukit di situ.
Chiaradia berkata, HK tidak harus dijadikan bandar raya contoh oleh mana-mana bandar sekalipun.
Katanya, setiap bandar raya mesti menghasilkan rancangan pembangunan dan pengangkutannya sendiri yang sesuai dengan keperluan dan hal keadaan masing-masing.
Katanya, HK tidak sempurna dan mempunyai kelemahan tersendiri.
Katanya, “keselesaan hidup” adalah rendah kerana kepadatan penduduk yang tinggi. Walaupun pengangkutan awamnya merupakan yang terbaik di Asia, ia mempunyai masalah kerana terlalu tertumpu di kawasan tertentu.
“Pihak yang mengambil HK sebagai model, membandingkan perkara yang tidak boleh dibandingkan. Ia merupakan perbandingan yang tidak boleh diukur.
“Ia mungkin nampak elok dari jauh, tetapi apabila anda menghampirinya, ia tidaklah begitu hebat.”