
Peguam Lavinia Kumaraendran, yang mewakili Isa memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Shuhada Ramli hari ini.
Lavinia berkata semua defendan itu termasuk anak guamnya diarah memfailkan penyataan pembelaan sebelum atau pada 31 Jan ini.
“Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 12 Feb di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar,” kata peguam itu.
Selain Isa, individu lain yang perlu memfailkan pembelaan adalah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah; bekas pengurus besar kanan Kluster Hiliran, Rasydan Alias Mohamed; bekas ketua pegawai kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha dan 5 bekas pengarah bukan eksekutif FGV iaitu Tan Sri Ismee Ismail; Tan Sri Wan Aziz Wan Abdullah; Tan Sri Sulaiman Mahbob; Datuk Nozirah Bahari dan Datuk Fazlur Rahman Ebrahim.
Lavinia turut memberitahu 9 defendan itu menerima salinan tuntutan saman pada 19 Dis manakala 5 lagi defendan lain masih belum menerima tuntutan saman berkenaan.
Mereka ialah bekas naib presiden Pembangunan Perniagaan Kluster Hiliran, Farisan Mokhtar dan 3 bekas pengarah bukan eksekutif FGV iaitu Datuk Omar Salim, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, Datuk Yahaya Abd Jabar dan Datuk Faizoull Ahmad.
FGV Holdings Berhad selaku plaintif memfailkan saman pada Nov lepas berikutan kerugian yang dialami syarikat itu akibat daripada kegagalansemua defendan melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab masing-masing serta kesetiaan atau kewajipan untuk melakukan penjagaan, kemahiran dan ketekunan yang munasabah.
Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, saman tersebut adalah berkenaan dengan pengambilalihan 100% kepentingan ekuiti dalam APL melalui tawaran tunai bersyarat sukarela pada 2014.
Oleh itu, FGV menuntut RM514 juta untuk kerugian yang timbul daripada pengambilalihan, atau secara alternatif, ganti rugi atau kehilangan dari pengambilalihan yang dinilai oleh mahkamah selain menuntut ganti rugi am, faedah dan kos.