Kutipan dana tanah kuil Seafield dihentikan

Kutipan dana tanah kuil Seafield dihentikan

Kutipan dana yang dimulakan hartawan Vincent Tan dihentikan selepas peguam negara berjaya mendapatkan satu pertujuan daripada semua pihak dalam isu kuil Seafield.

PETALING JAYA: Tabung yang dimulakan oleh hartawan Tan Sri Vincent Tan dengan tujuan untuk mengutip dana bagi membeli tanah buat Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya dihentikan.

Perkembangan ini selepas Peguam Negara Tommy Thomas berjaya mendapatkan satu persetujuan antara pemimpin kuil dan pemilik tanah, One City Development Sdn Bhd.

“Thomas sedang memohon Mahkamah Tinggi, mengikut Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan untuk menjaga kepentingan awam berhubung amanah amal, untuk perintah membentuk amanah dan melantik pemegang-pemegang amanah bagi menguruskan amanah dan kuil itu.

“Oleh itu, semua penderma diminta menuntut semula sumbangan mereka daripada TheSun dengan mengemukakan resit yang diberi Sun Media Corporation sebagai bukti kiriman wang,” lapor TheSun hari ini.

Menurut akhbar itu, kutipan dana yang dilancarkan hampir 3 minggu lalu itu memperoleh RM2,277,483 setakat ini daripada sasaran RM15 juta.

Penderma yang mahu membuat tuntutan diminta menghantar butiran dan dokumen berkaitan kepada [email protected] sebelum 18 Januari.

Wang yang tidak dituntut akan disalurkan ke kuil untuk perbelanjaan penyenggaraan dan naik taraf, kata TheSun.

Tanah 1.1 ekar yang diduduki kuil itu milik One City, anak syarikat MCT Bhd. Laporan media mengatakan tanah tersebut bernilai antara RM14.37 juta dan RM15.33 juta.

Pertikaian antara seorang penganut kuil, M Nagaraju, dan pengurusan kuil, diwakili K Chellappa, berlarutan sejak beberapa tahun.

Nagaraju, pengurusan kuil yang diwakili Chellappa, One City dan kerajaan Selangor terlibat dalam satu saman sivil.

Menurut penghakiman persetujuan pada Mac 2014, semua pihak berkenaan bersetuju One City akan menyediakan tanah untuk kuil baru dan sumbangan RM1.5 juta untuk tanah kuil itu yang terletak di USJ 25, Subang Jaya.

Kuil itu sepatutnya berpindah pada 22 November seperti yang dipersetujui.

Namun, Nagaraju menukar pendirian dan menyokong kumpulan yang mahu kuil itu dikekalkan.

Keganasan meletus di kuil itu pada November apabila satu kumpulan memasuki bangunan itu. Kejadian itu membawa kepada 18 kereta dibakar dan beberapa orang tercedera.

Keganasan berterusan sehingga ke keesokan hari yang menyaksikan seorang anggota bomba meninggal dunia.

Minggu lepas, Thomas menyokong satu penyelesaian komprehensif yang diketengahkan oleh peguam-peguam mewakili pelbagai pihak dalam isu kuil Seafield.

Penyelesaian itu menyaksikan pemaju, One City Development Sdn Bhd, akan memindah hakmilik tanah kepada satu amanah yang akan ditadbir Mahkamah Tinggi, dan tertakluk kepada terma yang akan dipersetujui.

Seterusnya, peguam negara, selaku penjaga kepentingan awam berkaitan amanah khairat, akan memohon mahkamah mengeluarkan satu perintah membentuk amanah dan melantik pemegang-pemegang amanah bagi menguruskan amanah dan kuil itu.

Mahkamah akan diminta untuk melantik seorang penerima untuk mengawal dan menjaga ke atas pemegang-pemegang amanah, serta tertakluk kepada pantauan mahkamah.

“Pada masa yang sesuai, Mahkamah Tinggi akan diminta untuk memindahkan keempunyaan tanah yang diatasnya kuil terletak kepada pemegang-pemegang amanah,” kata Thomas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.