SPR lapor polis 62 calon PRU14 gagal serah penyata belanja

SPR lapor polis 62 calon PRU14 gagal serah penyata belanja

Calon yang gagal menyerahkan penyata perbelanjaan pilihan raya, tidak boleh menghadiri atau mengundi dalam Dewan Rakyat atau DUN seperti diperuntukkan Seksyen 23 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

SPR menerima 687 pencalonan kerusi Parlimen dan 1,646 pencalonan kerusi DUN pada PRU14.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat laporan polis terhadap 62 calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana gagal menyerahkan penyata perbelanjaan mereka.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954, calon bertanding atau ejen pilihan raya perlu menyerahkan penyata perbelanjaan pilihan raya kepada pengarah pilihan raya negeri dalam tempoh 31 hari selepas keputusan PRU14 diwartakan 28 Mei lalu.

“SPR ingin memaklumkan sehingga tarikh akhir penyerahan penyata perbelanjaan PRU14 pada 28 Jun lalu, seramai 62 calon PRU14 gagal menyerahkan penyata mereka.

“Jumlah ini meliputi 14 calon bagi bahagian pilihan raya Parlimen dan 48 calon bagi bahagian pilihan raya DUN (Dewan Undangan Negeri),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, calon yang gagal menyerahkan penyata perbelanjaan mereka tidak boleh menghadiri atau mengundi dalam sidang Dewan Rakyat atau DUN seperti diperuntukkan Seksyen 23 AKPR 1954.

“Mereka juga tidak boleh menyertai mana-mana pilihan raya selama 5 tahun, boleh didakwa dan diambil tindakan atas perbuatan yang menyalahi undang-undang.”

Pada PRU14, SPR menerima 687 pencalonan kerusi Parlimen dan 1,646 pencalonan kerusi DUN.

Pakatan Harapan berjaya menewaskan Barisan Nasional dan membentuk kerajaan persekutuan pada 9 Mei lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.