Pengerusi MyWatch didakwa dedah laporan polis

Pengerusi MyWatch didakwa dedah laporan polis

Mengikut pertuduhan, pemilik blog https://srisanjeevanr.blogspot.my didakwa mendedahkan kandungan laporan polis kepada orang lain di blog itu.

Sri Sanjeevan dibenar ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
PETALING JAYA:
Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini atas pertuduhan mendedahkan kandungan laporan polis di blognya, 3 tahun lepas.

Sri Sanjeevan, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, beliau sebagai pemilik blog https://srisanjeevanr.blogspot.my, didakwa mendedahkan kandungan laporan polis bersabit sebuah laporan “THSL 37529/15” kepada orang lain di blog itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di 69-2, Jalan Puteri, Bandar Puteri, Puchong, pada 9.07 malam, 13 Nov 2015 mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 203A(2) kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Ashy’ari Kamaruzzaman menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun Sri Sanjeevan yang diwakili peguam S Preakas memohon jaminan RM5,000 atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama yang baik dengan pihak polis.

Mahkamah membenarkan Sri Sanjeevan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Feb 2019 untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.