
Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, beliau dimaklumkan Qatar mempunyai dana yang besar untuk melabur di dalam negara.
“Minat itu adalah secara keseluruhannya ‘Qatar investment authority’ ada sebut bahawa mereka berminat untuk melabur di negara ini tetapi tidak disebut secara spesifik projek tersebut.
“Seperti yang dinyatakan, mereka mempunyai dana yang banyak untuk labur di dalam negara,” katanya sewaktu ditemui dalam majlis di Cyberjaya, hari ini.
Terdahulu Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, Malaysia cuba menawarkan kepada Qatar supaya dapat melabur dalam projek kereta nasional ke-3 yang diilhamkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Khalid berkata, ia berikutan keupayaan negara itu yang dilaporkan mempunyai sejumlah dana besar yang akan digunakan untuk tujuan pelaburan dalam pelbagai bidang.
“Qatar ada sebanyak AS$400 bilion, untuk dilaburkan di seluruh dunia, dia (Qatar) ada banyak duit, dia mahu laburkan dan kita mahu cari jalan supaya Qatar labur di Malaysia.
“Antara projek yang kita mahu tawarkan untuk dia laburkan adalah projek kereta Malaysia yang ke-3, yang pentingnya Qatar kena ada projeklah untuk dia laburkan dan kita perlu usahakan supaya dia dapat laburkan dalam projek itu (kereta nasional ke-3).”