Khashoggi: Arab Saudi tolak ketetapan Senat AS

Khashoggi: Arab Saudi tolak ketetapan Senat AS

Pembunuhan Jamal Khashoggi adalah jenayah yang tidak melambangkan dasar kerajaan Arab Saudi.

Senat AS mengundi untuk menamatkan sokongan ketenteraan AS dalam perang di Yaman dan menyalahkan putera mahkota Saudi atas kematian Khashoggi. (Gambar AFP)
KAHERAH:
Arab Saudi hari ini menolak “ketetapan yang disuarakan baru-baru ini oleh Senat Amerika Syarikat” dengan menyebut, pembunuhan Jamal Khashoggi adalah jenayah yang tidak melambangkan dasar kerajaan negara itu, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar negara itu.

“Kerajaan Arab Saudi menolak ketetapan yang dikeluarkan baru-baru ini oleh Senat AS dan dibuat berdasarkan dakwaan dan tuduhan yang tidak berasas, selain mengandungi campur tangan terbuka dalam urusan dalaman kerajaan Saudi dan menggugat peranan serantau dan antarabangsanya,” kata kenyataan yang disiarkan Agensi Media Saudi.

“Kerajaan Arab Saudi sebelum ini menegaskan bahawa pembunuhan warga Saudi, Jamal Khshoggi adalah satu jenayah keji yang tidak melambangkan dasar kerajaan atau institusinya dan mengulangi penolakannya terhadap percubaan yang mahu menyeret kes itu keluar dari laluan keadilan di negara itu.”

Senat AS membuat 2 teguran kepada Presiden Donald Trump berhubung Arab Saudi minggu lepas, iaitu dengan mengundi untuk menamatkan sokongan ketenteraan AS dalam perang di Yaman dan menyalahkan putera mahkota Saudi atas kematian Khashoggi.

Kenyataan itu menambah: “kerajaan Arab Saudi berharap ia tidak diseret ke dalam debat politik domestik di AS bagi mengelakkan kesannya ke atas hubungan antara 2 negara yang boleh memberi kesan negatif ke atas hubungan strategik yang penting ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.