
Pengerusi Penyokong PAS Dr S Balasubramaniam berkata orang bukan Islam tidak perlu rasa terancam atau takuti hasrat itu, kerana PAS tidak pernah meminggirkan mereka.
“Semua rakyat tahu PAS parti Islam. Mereka berjuang untuk Islam bukan sekarang, tapi sejak 1951,” katanya kepada FMT. “Islam ini bukan Melayu sahaja, cuma kebetulan Melayu majoriti di Malaysia. Ini tidak bermakna PAS mahu pinggirkan bukan Melayu,” katanya.
Menjelaskan keyakinan mereka, Balasubramaniam berkata sehingga kini tiada seorang pun pemimpin PAS yang terlibat dalam rasuah atau memburukkan bangsa lain.
“Ini jelas jadi kami boleh yakin PAS akan jaga bukan Islam,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan semalam yang mengatakan PAS nampaknya perlu menggalas tanggungjawab membela nasib Melayu kerana Umno tidak lagi mampu menjuarai agenda itu.
“Sekarang ini mereka bukan lagi kerajaan dan ketika ini ramai pemimpin dan wakil rakyat mereka meninggalkan parti menyebabkan struktur Umno di beberapa peringkat sudah runtuh,” kata Takiyuddin.