Syarikat perladangan buat laporan polis terhadap bekas CEO TH dan 4 lain

Syarikat perladangan buat laporan polis terhadap bekas CEO TH dan 4 lain

Individu berkenaan adalah bekas CEO Lembaga Tabung Haji, 2 bekas CEO TH Plantations dan 2 rakyat Indonesia.

Trurich berkata, ia digunakan sebagai platform untuk memperoleh saham syarikat yang memiliki ladang sawit di Kalimantan.
KUALA LUMPUR:
Trurich Resources Sdn Bhd (Trurich) telah membuat laporan polis terhadap lima individu kerana didakwa memperdayakan syarikat itu dalam urusan pembelian ladang kelapa sawit di Indonesia bernilai AS$58 juta (RM242.61 juta) antara 2008 dan 2009.

Trurich, dalam kenyataan semalam berkata, individu berkenaan adalah bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH), 2 bekas CEO TH Plantations dan 2 rakyat Indonesia.

Ia berkata pada 2008, TH meluluskan pembelian ladang kelapa sawit di Kalimantan Utara (Kaltara) dan Kalimantan Tengah (Kalteng).

Trurich berkata, ia digunakan sebagai platform untuk memperoleh saham syarikat yang memiliki ladang tersebut.

“Dalam laporan polis, dinyatakan berdasarkan dokumen seperti minit mesyuarat lembaga TH, mesyuarat lembaga Trurich, kertas panel pelaburan, memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri, laporan dan surat-menyurat, ternyata terdapat pelbagai salah nyataan dilakukan dan menyembunyikan maklumat penting semasa rundingan dan keputusan berkaitan dengan transaksi Kalttara dan Kalteng,” katanya.

“Salah nyataan dan menyembunyikan maklumat penting memudaratkan Trurich yang diperdaya untuk membuat bayaran berlebihan bagi tanah Kaltara dan Kalteng serta membeli balik saham yang sudah dibayar,” menurut kenyataan itu.

Pada masa pembelian itu Trurich berkata, ia adalah anak syarikat milik penuh TH.

Pada November 2009, FGV Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Felda Global Ventures Kalimantan Sdn Bhd, memperoleh 50 peratus kepentingan dalam Trurich daripada TH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.