
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Syed Zainal Abidin berkata, syarikat itu telah memperuntukkan antara RM5 juta dan RM10 juta sebagai kos pembinaan stesen terbabit.
Beliau berkata, PDB memutuskan stesen Petronas yang dibangunkan dalam kawassan universiti akan diuruskan sepenuhnya oleh universiti itu sendiri, sama ada oleh pelajar, pengurusan atau koperasi.
“Ini adalah antara komitmen kami untuk membangunkan keupayaan dan keyakinan dalam kalangan pelajar universiti dari segi keusahawanan dan perniagaan,” katanya pada persidangan media di sini semalam selepas menandatangani memorandum persefahaman antara PDB dan 5 universiti untuk membina keupayaan keusahawanan dalam kalangan pelajar.
Majlis menandatangani perjanjian dengan Universiti Teknologi Petronas, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Tunku Abdul Rahman itu disaksikan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
“Proses untuk membangun stesen terbabit boleh dilaksanakan dengan mudah kerana ia tidak melibatkan pembelian atau pemilikan tanah, sebaliknya ia hanya memerlukan urusan dengan universiti yang terlibat serta pihak berkuasa tempatan untuk kelulusan,” kata Syed Zainal.
Beliau berkata, PDB juga merancang untuk mewujudkan hab inovasi dan usahawan di stesen terlibat, satu konsep yang mirip dengan The Place @ Ampang yang diperkenalkan di stesen Petronas di Jalan Kolam Air Lama, di Ampang, Selangor.