Muslihat ‘orang kita’ punca pecah amanah berterusan, kata Kamarul Bahrin

Muslihat ‘orang kita’ punca pecah amanah berterusan, kata Kamarul Bahrin

Pemimpin Amanah berkata sikap mengiakan setiap tindakan 'orang kita' sudah merosakkan nilai orang Melayu dan orang Islam.

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata Islam menentang sikap assobiyah seperti konsep ‘orang kita’.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Amanah hari ini mengingatkan rakyat tentang muslihat “orang kita” yang digunakan untuk orang-orang pecah amanah.

Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata itulah sikap yang merosakkan nilai orang Melayu dan orang Islam, kerana ia memberi “layanan keistimewaan” kepada pelaku.

“Ada pula yang memberi justifikasi walaupun bersalah, yang bertambah kaya bukan orang lain tetapi ‘orang kita’ juga. Sikap menyanjung kekayaan dan mengiakan setiap tindakan ‘orang kita’ walaupun bersalah, lebih dari nilai amanah dan keadilan, punca kerosakan negara dan orang kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raja Kamarul berkata orang-orang yang dilantik untuk mentadbir dan mengurus pelaksanaan dasar untuk Bumiputera dan Islam, dan institusi berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Tabung Haji (TH), diberi kepercayaan untuk menjaga kumpulan seagama dan sebangsa yang kurang bernasib baik.

Malangnya, kata Raja Kamarul, ada dalam kalangan pentadbir dan pengurus itu “gelap mata” apabila melihat betapa kayanya negara ini.

“Terlintas pula dalam pemikiran mereka yang mereka juga Bumiputera yang berhak ‘dibantu’,” kata Raja Kamarul. “Mereka mengambil peluang kuasa yang dimiliki untuk memperkayakan diri sendiri, sambil membantu kumpulan yang patut dibela. Mungkin sambil menyelam minum air.”

“Masalahnya, dalam usaha mereka membantu diri sendiri dengan memperkayakan diri, organisasi dan syarikat terlibat diabaikan kepentingannya dan terus rugi,” tambahnya.

Raja Kamarul berkata sikap “orang kita” itu memberi “layanan keistimewaan” bukan pada tempatnya, menyebabkan kes pecah amanah berlaku secara berterusan.

“Apabila pihak yang berkuasa dan diberi kepercayaan melakukan kesalahan pecah amanah, mereka patut dihukum sekeras-kerasnya dan bukan diberi kelonggaran kerana mereka ‘orang kita’,” katanya.

Beliau menyeru orang Bumiputera dan orang Islam mengenepikan sikap “orang kita” itu dan memberi keistimewaan kepada orang-orang yang betul-betul memerlukan.

“Kerana itulah Islam menentang sikap assobiyah seperti konsep “orang kita”, sebaliknya Islam mengutamakan konsep ‘Ramhatan lil Alamin’ – rahmat untuk semua,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.