Kula dikritik selepas cadang ‘simpan’ gaji pekerja asing

Kula dikritik selepas cadang ‘simpan’ gaji pekerja asing

Cadangan menolak 20% gaji daripada gaji asas bulanan pekerja asing boleh menyalahi undang-undang, kata jurucakap MTUC.

Aktivis kesatuan sekerja menggesa kerajaan menyiasat punca pekerja asing melarikan diri dari majikan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin kesatuan sekerja terkejut dengan cadangan menteri sumber manusia menahan 20% daripada gaji pekerja asing bagi menghalang mereka melarikan diri dari majikan.

K Veeriah, setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Pulau Pinang berkata, idea itu “simplistik” dan mengabaikan punca pekerja asing melarikan diri, dan menambah idea itu mungkin menyalahi undang-undang buruh.

“Ambil jalan keluar yang mudah bukan penyelesaiannya,” katanya menjawab cadangan yang diumumkan M Kula Segaran hari ini.

“Pendekatan seperti itu tidak mungkin mencapai matlamat memahami isu yang dihadapi pekerja asing.”

Kula mencadangkan majikan dibenarkan menolak 20% daripada gaji asas bulanan pekerja asing, mengatakan isu pekerja asing melarikan diri bebanan besar yang dihadapi majikan.

Beliau berkata dengan langkah itu majikan tidak berdepan kerugian ke atas pelaburan untuk membawa masuk pekerja berkenaan.

Kula berkata wang yang dipotong akan disimpan di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan mendakwa langkah itu berjaya dilaksanakan di Jepun dan Korea Selatan.

Namun Veeriah mempersoalkan adakah Malaysia, dalam ia mahu mengamalkan langkah itu, juga sedia mengangkat standard buruh yang tinggi seperti di kedua-dua negara itu.

Beliau memberi amaran menolak gaji pekerja boleh menyalahi Akta Kerja.

“Cadangan menyimpan wang yang ditolak itu di Perkeso menimbulkan persoalan sama ada wujudkah peruntukan yang membolehkan perkara itu dilakukan dalam Akta Keselamatan Sosial,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.