Kerajaan cadang naikkan elaun kritikal bomba

Kerajaan cadang naikkan elaun kritikal bomba

Zuraida Kamarudin berkata pihaknya akan berbincang dengan JPA berkenaan kaedah pemberian elaun kritikal untuk anggota JBPM.

Kerja bomba berbahaya malah kerja-kerja bukan dalam skop tugas mereka. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mencadangkan kenaikan elaun kritikal untuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) supaya lebih setimpal dengan cabaran dan risiko dihadapi anggota dalam menjalankan tugas.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam berkenaan kaedah pemberian elaun kritikal untuk anggota JBPM.

“Sudah tiba masanya untuk kita pertimbang naikkan (elaun kritikal) kerana kerja bomba ini berbahaya malah kerja-kerja bukan dalam skop tugas pun mereka buat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Kuarters Bomba Johor, di Kempas, hari ini.

Pada Julai tahun ini, Zuraida berkata KPKT memperuntukkan sebanyak RM35 juta bagi pemberian elaun kritikal kepada anggota JBPM, yang memberi manfaat kepada kira-kira 13,000 anggota JBPM di seluruh negara.

Tambah Zuraida, setiap anggota bomba dijangka menerima sebanyak RM250 seorang bagi elaun kritikal pada setiap bulan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Zuraida memuji pasukan beruniform itu yang bertarung nyawa dalam menjalankan tugas demi keselamatan masyarakat.

Oktober lalu, 6 anggota bomba dan penyelamat meninggal dunia sewaktu operasi menyelamatkan mangsa lemas di lombong Taman Putra Perdana, di Selangor manakala November lepas pula, seorang anggota Bomba dan Penyelamat cedera parah setelah diserang sekumpulan perusuh dalam rusuhan di sekitar Kuil Maha Mariamman, di Selangor.

Sementara itu, Zuraida berkata bomba masih kekurangan sekitar 3,000 anggota di seluruh negara.

Justeru, KPKT mempelawa masyarakat, terutamanya golongan muda untuk menyertai pasukan itu sekali gus dapat menabur bakti kepada masyarakat.

“Kita minta untuk rakyat terutamanya orang muda, saya galakkan sertai bomba. Ini kerana ia satu kerjaya yang amat murni dan dapat membina disiplin diri,” katanya.

Zuraida berkata, terdapat lebih 100 kekosongan untuk diisi dalam JBPM Johor misalnya.

Selain itu, JBPM kini mempunyai sekitar 14,000 anggota termasuk sukarelawan.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi banjir, beliau berkata cuti anggota JBPM dibekukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.