NGO: Pilihan raya PBT boleh tangani rasuah

NGO: Pilihan raya PBT boleh tangani rasuah

SKL berkata pilihan raya PBT akan membantu menangani 'dakwaan rasuah' di DBKL yang dikatakan menjadi punca penjualan tanah yang 'meragukan'.

NGO menggesa kerajaan mengembalikan pilihan raya PBT.
PETALING JAYA:
Selamatkan Kuala Lumpur (SKL) menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) melihat di luar “konflik kaum yang sepatutnya” yang mungkin berlaku sekiranya pilihan raya kerajaan tempatan (PBT) diadakan kembali.

Timbalan Pengerusi SKL, M Ali berkata, mengembalikan pilihan raya PBT akan membantu menangani “dakwaan rasuah” di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang dikatakan menjadi punca penjualan tanah yang “meragukan”.

Sejak PH mengambil alih Kementerian Wilayah Persekutuan, menterinya Khalid Samad menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat 97 penjualan tanah yang diragui yang diluluskan di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

Pengkritik berpendapat usaha ini hanya dapat dilakukan dengan penglibatan pegawai DBKL.

“Itulah sebabnya kita perlu pilihan raya, bukan hanya datuk bandar tetapi juga lembaga pengarah DBKL dan mungkin, pegawai DBKL juga.

“Hanya cara itu boleh tangani rasuah. Kami kemukakan ini kepada menteri (Khalid), dan dia memberitahu kami dia akan menelitinya.

“Kini secara tiba-tiba perdana menteri mengatakan ini (kemungkinan konflik perkauman). Kami berharap kajian untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan akan diteruskan,” katanya.

Ali menambah adalah penting bagi masyarakat sivil turut serta dalam majlis tempatan bagi memastikan orang ramai diwakili dengan baik.

“Pelantikan majlis tempatan disalahguna dan selalunya pilihan berdasarkan politik.

“Wakil-wakil itu duduk di majlis tempatan dengan kehendak dan sangkaan kuasa politik atau parti politik mereka. Ini adalah antara alasan untuk menghapuskan salah guna dengan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan yang memberi tumpuan kepada isu tempatan. Ia akan membolehkan pembayar cukai menolak ahli majlis yang rasuah.”

Beliau berkata ini sebabnya mereka sebelum ini mencadangkan ahli majlis tempatan termasuk profesional yang bukan ahli politik dan individu seperti ibu tunggal dan orang kurang upaya.

“Sekarang perdana menteri membuat pengumuman ini, ia memberi kami peluang untuk mengembalikan topik pilihan raya kerajaan tempatan. Kami berharap dapat meneruskan perkara ini dengan menteri wilayah tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi.

Ali berkata jika pilihan raya PBT dikembalikan, tidak ada keperluan bagi menteri wilayah persekutuan, yang sebelum ini memainkan peranan sebagai orang tengah antara DBKL dan rakyat.

Dilaporkan pada Jun, para NGO menyeru kerajaan PH menunaikan janji untuk memulihkan pilihan raya PBT.

NGO – MyPJ, Penang Forum dan SKL – juga menuntut pelan tindakan untuk pilihan raya PBT termasuk:

  • Pemilihan datuk bandar bagi bandar Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur akan dijalankan pada Jun 2019;
  • Pemilihan anggota majlis bagi bandar-bandar di Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur akan dijalankan pada Disember 2019;
  • Pemilihan presiden majlis dan ahli majlis untuk seluruh Malaysia akan dilaksanakan dalam tempoh 3 tahun.

Bagaimanapun, sejak itu, terdapat sedikit perbincangan dalam menjalankan pilihan raya PBT.

Bekas ahli parlimen pembangkang sebelum pilihan raya umum 9 Mei adalah antara mereka yang bersuara untuk mengembalikan semula pilihan raya majlis tempatan.

Sementara itu, penasihat Suara Rakyat Malaysia, Kua Kia Soong berkata negara itu cukup kaya untuk mengadakan pilihan raya PBT.

Ini susulan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Khalid bahawa kerajaan tidak dapat mengadakan pilihan raya PBT pada masa ini disebabkan kedudukan kewangan yang lemah.

“Kita adalah negara yang mencapai KDNK per kapita AS$ 10,000 (RM41,733), dan anda masih mengatakan anda tidak mampu mengadakannya?” kata Kua.

“Saya telah banyak kali menyebut ia penting bagi banyak aspek kehidupan kita. Pilihan raya kerajaan tempatan membantu menentukan sekolah yang dibina, keselamatan, dan perumahan, terutama perumahan awam, yang akan diuruskan oleh majlis tempatan.

“Ia dapat menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi di peringkat kerajaan tempatan, termasuk pendidikan kurang radikal.”

Beliau menggesa pemantau pilihan raya Bersih 2.0 memperjuangkan perkara itu, dan “membawanya ke jalan” jika kerajaan terus tidak bersetuju.

Pada Mei, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata beliau akan membentangkan rang undang-undang pada sidang pertama Parlimen untuk mengembalikan pilihan raya majlis tempatan.

Dalam pilihan raya umum baru-baru ini, Maria menjadi calon bebas menggunakan tiket PKR. Salah satu janji yang beliau buat kepada pengundi adalah beliau akan mendesak pilihan raya PBT diadakan semula.

Beliau memperjuangkan pilihan raya PBT sejak beliau bersama Bersih, dengan mengatakan ia adalah hak warganegara untuk memilih datuk bandar, presiden majlis tempatan dan ahli majlis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.