
Peguamnya, Datuk K Kumaraendran berkata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu memberi keterangan selama 20 minit kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Isa tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 11 pagi tadi.
“Isa hadir ke Ibu Pejabat SPRM, untuk menandatangani akujanji hadir ke mahkamah esok, saya (Kumaraendran) sebagai saksi.
“Mereka hanya ambil keterangan tetapi dia (Isa) tidak direman, katanya ketika dihubungi FMT.
Julai tahun lalu, SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel di Kensington, London pada 2014 oleh FIC, yang dipercayai dibayar pada kadar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran, mendatangkan kerugian jutaan ringgit terhadap anak syarikat Felda itu.
SPRM turut menjalankan siasatan berhubung kes pembelian hotel di Kuching oleh FIC, yang juga dipercayai dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran.
Susulan penangkapannya, rumah Isa di Selangor turut diserbu pegawai penyiasat ketika itu.
FIC dilaporkan membeli sebuah hotel 4 bintang di Kensington, London pada £60 juta (RM330 juta) pada 16 Disember 2014.
Isa selaku pengerusi Felda ketika itu dilaporkan berkata pembelian pembelian Grand Plaza Kensington itu sebahagian daripada “langkah strategik” FIC untuk mempelbagaikan aset dan memastikan ia dapat “memaksimumkan pulangan pelaburan” syarikat.