Lebih baik kembalikan status asal Pulau Kukup, Muhyiddin beritahu Johor

Lebih baik kembalikan status asal Pulau Kukup, Muhyiddin beritahu Johor

Menteri dalam negeri itu berkata, status Pulau Kukup sebagai taman negara seharusnya dikekalkan, walaupun rizab tanah terbabit dibatalkan, selepas statusnya berubah menjadi tanah kesultanan.

Muhyiddin Yassin (tengah) marah apabila mendapat tahu keputusan kerajaan Johor menarik semula status Pulau Kukup sebagai taman negara.
PETALING JAYA:
Walaupun kerajaan Johor menegaskan Pulau Kukup di Pontian akan kekal sebagai taman negara, tidak dapat dinafikan status tanah itu sudah berubah, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas menteri besar Johor itu berkata, status Pulau Kukup sebagai taman negara seharusnya dikekalkan, walaupun rizab tanah terbabit dibatalkan, selepas statusnya berubah menjadi tanah kesultanan.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau marah apabila mendapat tahu keputusan kerajaan Johor menarik semula status Pulau Kukup sebagai taman negara.

“Statusnya kini berubah sedikit. Seperti yang mereka katakan akan melakukan segalanya untuk mengekalkannya sebagai taman negara, pemilikan tanah itu sudah berubah.

“Saya lebih rela merayu sultan mengembalikan status asalnya. Anda boleh katakan ia adalah sama, tetapi saya rasakan rakyat boleh menafsir sebaliknya.

“Kembalikan semula statusnya kepada sebelum ia digazetkan, maka sesiapa sahaja boleh masuk,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPBM, hari ini.

Presiden PPBM itu berkata, Pulau Kukup boleh diuruskan lebih baik di bawah pengurusan terdahulu kerana tiada isu yang timbul sebelum ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, itu hanya pandangan peribadinya sebagai anak jati Johor.

“Perbadanan Taman Negara Johor ditubuhkan untuk menguruskan taman negara di negeri itu. Saya lihat mereka melaksanakannya sejak 1997. Niatnya adalah memastikan ia kekal selama-lamanya.”

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dilaporkan berkata, keputusan menggugurkan status Pulau Kukup sebagai taman negara dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) 7 Mac lalu, iaitu ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Katanya, tindakan tersebut hanya diketahui pentadbirannya apabila pembatalan rizab itu diwartakan selepas mendapat kelulusan MMK ketika pentadbiran BN dan kemudiannya dilaporkan media.

Pulau Kukup berkeluasan 647 hektar dan mempunyai ekosistem paya bakau dengan anggaran 18 spesis bakau asli. Jika dibanding dengan kawasan bakau lain di Semenanjung, kekayaan spesis bakau asli di kawasan itu lebih banyak.

Pulau Kukup turut dikenal pasti sebagai kawasan persinggahan burung migrasi, tempat pembiakan dan perlindungan hidupan liar terancam, seperti burung botak, bangau cina dan pacat bakau serta sumber perikanan dan akuakultur negara.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini memaklumkan Pulau Kukup yang dibatalkan sebagai rizab taman negara akan menjadi tanah kesultanan bagi memastikan pulau itu dilindungi lebih baik, berikutan perubahan statusnya.

Kebimbangan mengenai Pulau Kukup timbul, berikutan warta bertarikh 25 Oktober lalu memaklumkan pihak berkuasa negeri akan membatalkan keseluruhan Pulau Kukup sebagai taman negara di bawah Subseksyen 3 (3) Enakmen Alam Sekitar Taman Negara (Johor) 1989.

Terdapat 6 taman negara di Johor, iaitu Endau-Rompin Peta, Endau-Rompin Selai, Tanjung Piai, Pulau Kukup, Gunung Ledang dan Taman Laut Sultan Iskandar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.