
10 mahasiswa daripada Gabungan Pembebasan Akademik itu pada mulanya cuba mengadakan sidang media di lobi Parlimen, tetapi tidak dibenarkan oleh pihak keselamatan.
Situasi kembali terkawal apabila Maria Chin (Petaling Jaya-PH), Rusnah Aluai Abdullah (Tangga Batu-PH) dan Hassan Karim (Pasir Gudang-PH) hadir mendengar keluhan mereka dan bersetuju untuk menyampaikan memorandum tersebut kepada Maszlee.
Wakil gabungan itu, Azura Nasron berkata, mereka menuntut Kementerian Pendidikan memansuhkan Seksyen 15 dan 16 akta itu sepenuhnya, bukan hanya menggugurkan 1 bahagian daripadanya.
“Seksyen 15 dan 16 masih membenarkan naib canselor membubarkan persatuan dan menghukum pelajar.
“Kita mahu kedua-dua seksyen tersebut juga dimansuhkan sepenuhnya kerana bagi kami seksyen terbabit masih lagi mengekang kebebasan mahasiswa.
“Keputusan kerajaan dilihat tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri serta menguntungkan parti politik sahaja, bukannya untuk manfaat semua pelajar,” katanya.
Semalam, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila meluluskan dengan sebulat suara pindaan terhadap Auku 1971 yang membenarkan mahasiswa aktif berpolitik.
Pindaan tersebut membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) Auku yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus, sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada mereka dalam bersuara serta berpolitik.
Selain Auku, 2 lagi akta terbabit dengan pindaan ialah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.
Pindaan ke atas semua akta itu bertujuan menamatkan larangan ke atas penuntut institusi pengajian tinggi terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam kampus.
Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Auku (Pindaan) 2018 bagi meminda akta itu, Maszlee berkata, pindaan tersebut adalah langkah awal ke arah memansuhkan Auku secara total yang dijangka dapat direalisasikan pada 2020.