Imigresen: Jeti Menumbok laluan penduduk, tak perlu pos pemeriksaan

Imigresen: Jeti Menumbok laluan penduduk, tak perlu pos pemeriksaan

Pengarahnya, Musa Sulaiman berkata Jeti Menumbok laluan utama warga Labuan ke Sabah

Pengarah Imigresen Sabah berkata, masalah orang tanpa kerakyatan dan pendatang asing tanpa izin di Sabah bukan disebabkan tiada pos pemeriksaan di Jeti Menumbok. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Imigresen negeri berkata, tiada pos pemeriksaan di Jeti Menumbok, Kuala Penyu kerana ia laluan utama penduduk Labuan ke tanah besar Sabah.

“Kalau kita buat sekatan, tak sedaplah. Orang Labuan yang lalu masuk ikut Menumbok pun warganegara kita juga. Takkan nak periksa mereka, mereka pun orang kita,” kata Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Musa Sulaiman ketika dihubungi FMT.

Beliau dihubungi selepas Persatuan Patriot Kebangsaan menggesa kerajaan menyiasat dakwaan pelancong memasuki dan meninggalkan Sabah tanpa melalui pemeriksaan di Jeti Menumbok dan Jeti Jesselton Point, Kota Kinabalu.

Presidennya, Datuk Mohd Arshad Raji menggesa kerajaan tampil dengan kenyataan kuat terhadap rasuah, bagi memastikan keselamatan negara terjamin, terutama di Sabah yang sekian lama dihambat isu orang tanpa kerakyatan.

Musa bagaimanapun menjelaskan masalah orang tanpa kerakyatan dan pendatang asing tanpa izin di Sabah bukan dari Menumbok.

Beliau berkata, pelancong bertanggungjawab melapor diri di pejabat imigresen negeri untuk urusan pasport.

“Kita juga ada buat tangkapan secara rawak. Kalau selalu sangat buat, tak sedaplah…situ orang Labuan lalu,” katanya.

Isu ini pertama kali ditimbulkan Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking di Dewan Rakyat pada 26 September 2017 semasa beliau ialah wakil rakyat pembangkang.

Beliau mendakwa dokumen perjalanan atau pasport pelancong yang memasuki Sabah melalui jeti di Menumbok tidak diperiksa sebelum mendarat dan melewati pos pengawal atau pemeriksaan kastam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.